SPECIAL ADS

18 Disember 2013

Populariti Najib jatuh kerana jurang antara retorik dan realiti

19 Dis : Jurang di antara retorik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak (gambar) dan realiti kehidupan rakyat Malaysia menyebabkan populariti perdana menteri jatuh 10% dalam kajian terbaru Merdeka Center, kata penganalisis.
Mereka juga memberitahu The Malaysian Insider, terdapat juga jurang di antara apa yang pentadbiran Najib mahu rakyat Malaysia lakukan dan bagaimana mereka menguruskan dana awam.
“Kerajaan gagal menunjukkan mereka juga merasai kekangan kewangan dengan menghapuskan pembaziran.
“Sebaliknya masyarakat melihat beban untuk perbelanjaan berhemat dicampakkan kepada mereka,” kata penganalisis politik Khoo Kay Peng.
Semalam, Merdeka Center mengumumkan kajian terbaru penilaian penerimaan terhadap Najib jatuh mendadak daripada 62% pada Ogos 2013 kepada hanya 52% pada Disember.
Kajian itu dibuat selepas pemotongan subsidi minyak dibuat oleh kerajaan pada September 2013, pembentangan Bajet 2014 yang memperkenalkan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenyataan peningkatan tarif elektrik mulai Januari 2014.
Menurut Merdeka Center, isu ekonomi terutamanya kenaikan harga dan inflasi menjadi kebimbangan kepada 67% daripada responden yang ditanya.
Selain itu, 54% daripada responden juga tidak percaya kepada kenyataan dibuat oleh para pemimpin kerajaan berkenaaan keadaaan ekonomi negara.
Khoo mengatakan, pendapatan per kapita rakyat Malaysia menjadi cabaran kepada Najib berikutan kemarahan orang ramai dengan kenaikan tarif elektrik dan harga petrol.
“Masalah lebih besar adalah polisi tenaga kerja dan apa yang dilaksanakan dalam industri. Kerajaan menekankan peningkatan produktiviti dan tenaga kerja mahir akan tetapi pada masa sama terdapat ‘ketagihan’ kepada tenaga kerja asing yang lebih murah.”
Khoo berkata, pada ketika pentadbiran Najib mahu rakyat berjimat cermat, tidak ada apa yang serius dilakukan tentang pembaziran kerajaan seperti yang dilihat dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Pada masa sama, rasuah masih menjadi masalah besar, kata Tan Sri Ramon Navaratnam. Rasuah meningkatkan kos perniagaan yang menyebabkan peningkatan inflasi, kata bekas pegawai tinggi kerajaan itu.
Apabila ahli perniagaan perlu membayar rasuah, kos tambahan ini akan dipindahkan kepada pengguna, kata Navaratnam yang merupakan pengerusi Centre for Public Policy Studies.
Akan tetapi peningkatan inflasi bukan satu-satunya isu kata Navaratnam kerana pentadbiran Najib tidak dilihat tegas untuk menyelesaikan masalah pendidikan negara dan golongan ekstrimis.
“Lihat keputusan PISA. Itu merupakan indikasi jelas bagaimana rendahnya keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan negara,” kata Navaratnam.
Dua minggu lalu, Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) menunjukkan pelajar Malaysia berumur 15 tahun berada di kedudukan tiga terbawah daripada 65 negara dari segi membaca, sains dan matematik.
PISA adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh dunia.
Pelajar Malaysia berumur 15 tahun kini tiga hingga lima tahun di belakang berbanding rakan sebaya mereka di Shanghai, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Macau dan Jepun.
Kerajaan dikritik hebat oleh ahli politik dan pendidik kerana walaupun keputusan PISA merosot, lebih ramai pelajar Malaysia mendapat semua A dalam ujian Sijil Penilaian Menengah (SPM).
“Akan tetapi ini bukannya masalah yang berlaku salam masa singkat. Ia bermula semenjak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.”
Navaratnam mengatakan sikap kepimpinan Barisan Nasional (BN) berdiam diri terhadap golongan rasis dan pelampau agama menunjukkan mereka tidak peduli tentang kehidupan rakyat.
Ini kerana walaupun Najib memperkenalkan konsep sederhana dan perpaduan menerusi 1Malaysia, beliau tetap membiarkan sentimen anti-Syiah dan anti-Kristian berleluasa.
“Apa yang negara perlukan adalah Najib memberikan kepimpinan yang tegas dan adil,” kata Navaratnam memberikan cadangan kepada perdana menteri untuk menggembalikan keyakinan rakyat. TMI

Tiada ulasan: