31 Dis : CEO Yayasan Pergerakan Moderat Global Datuk Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan menyemak semula keputusan berhubung kos sara hidup agar tidak menambah lagi sengsara yang ditanggung oleh anggota masyarakat.

Dalah satu perutusannya sempena sambutan tahun baru hari ini, bekas MP Temerloh itu juga berharap agar tahun 2014 menjadi “tahun penyembuhan”.

“Kita percaya rakyat Malaysia secara umumnya orang yang bertimbang rasa. Mereka boleh menghargai cabaran yang perlu dihadapi oleh kita sebagai satu negara, jika pendekatan yang digunakan, dasar yang dilaksana dan program yang dijalankan itu munasabah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat di negara ini sudahpun menghadapi suasana politik tidak menentu sejak dua tahun lalu.

“Apabila rakyat merasakan bahawa tindakan kerajaan tidak munasabah mereka akan berasa tidak puas hati,” katanya.
Saifuddin berkata mudah untuk memahami sebab kebimbangan masyarakat ke atas nasib mereka pada tahun depan.

Katanya, ini berasaskan kebimbangan pada ke atas kemungkinan peningkatan besar pada kos sara hidup, isu keagamaan yang tak selesai, isu kebebasan media dan juga hak asasi.

“Maka boleh dikatakan bahawa ada di antara kita akan meninggalkan 2013 dengan perasaan perit, kata Saifuddin.

Katanya, beliau mengalu-alukan pengumuman perdana menteri untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, namun kerajaan perlu bertindak setakah lagi untuk membendung rasuah dengan memperkenalkan sistem perolehan dan bidaan tender secara elektronik. MK