SPECIAL ADS

11 Disember 2013

'TURUN' dilancar bantah kos sara hidup makin membeban

11 Dis : Sekumpulan mahasiswa hari ini melancarkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang akan bertindak sebagai kumpulan pendesak bagi membantah kos sara hidup yang semakin membebankan.

Dipengerusikan Azan Safar, pelancaran Turun diadakan di hadapan pusat membeli-belah Sogo petang ini dengan mengadakan Pidato Anak Muda.

Pidato disampaikan oleh Azan sendiri, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat, Ketua Dapsy, Teo Kok Seong, wakil Gabungan Mahasisawa Islam SeMalaysia (Gamis), A fif Zulkipli dan wakil Sigma, Nurul Syifa' Abdullah.

Menurut Azan, Turun menggariskan tiga objektif dan akan membawa lima agenda.

Objektif Turun adalah bertindak sebagai jentera penerangan kesedaran kepada rakyat untuk turut sama bangkit sebagai respons kepada kegagalan tata kelola kerajaan dalam menguruskan kebajikan rakyat.

Turun juga akan bertindak sebagai kumpulan pendesak yang membawa suara anak muda Malaysia terhadap tindakan kerajaan hari ini.

Selain itu Turun akan bertindak sebagai pusat pengumpulan anak muda yang tertindas dan tertekan untuk memperjuangkan nasib kehidupan mereka.

Manakala agenda yang akan dibawa oleh Turun adalah mendesak kerajaan membanteras korupsi, menstrukturkan subsidi industri, menangguhkan  pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mendedahkan perjanjian konsesi tol dan memecahkan monopoli terutama pembekal gula.

"Sebagai seorang rakyatkita mesti mempunyai kesedaran terhadap kos sara hidup yang makin membebankan.

"Maka dengan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, kita mesti membawa suara kita sebagai rakyat untuk menyelamatkan nasib kita dan negara," kata Azan dalam pidatonya.

Azan juga berkata, Turun akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat bermula dengan forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) Sabtu ini.

Sementara itu, Suhaizan berkata, Pemuda Pakatan Rakyat memberikan sokongan penuh kepada Turun dan akan turut serta menjadi pendesak kepada kerajaan.

"Pemuda Pakatan menyokong penuh penubuhan Turun ini dan akan bersama anak muda dalam menyuarakan keperitan hidup mereka.

"Hatta kalau perlu kepada himpunan besar-besaran bagi mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup, pemuda akan bersama-sama gerakan ini," katanya.

Pidato termasuk acara melepaskan  belon bertulis Turun ke udara berjaya menarik perhatian orang ramai di sekitar Sogo.

Kira-kira 10 anggota polis mengawal keadaan. HD

Tiada ulasan: