SPECIAL ADS

14 Disember 2013

Syiah: Strategi alihkan isu kenaikan harga

14 Dis : Tindakan Umno dan Barisan Nasional memainkan isu Syiah kebelakangan ini bertujuan untuk mengalihkan perhatian orang ramai terhadap isu kenaikan harga kebelakangan ini, kata Dyana Sofya Mohd Daud (gambar), Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang.
Dyana tersebut berkata serangan ke atas penganut Syiah bertujuan menutup keadaan sebenar rakyat yang tersepit.
"Negara kita sekali lagi dilalaikan dengan isu Syiah. Ia dibangkitkan semata-mata untuk menutup keadaan sebenar rakyat Malaysia yang tersepit dengan peningkatan kos sara hidup yang melonjak dengan tinggi.
"Contohnya pengurangan subsidi minyak, penghapusan subsisdi gula, kenaikan tarif elektrik, pengenalan cukai GST, kenaikan cukai pintu serta kenaikan tambang LRT dan monorel," kata Dyana hari ini.
Dyana juga mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah apabila menekan rakyat Malaysia berfahaman Syiah walhal ramai penuntut asing pengajian tinggi yang melanjutkan pelajaran di Malaysia menganuti ajaran tersebut.
"Malah, ribuan daripada pelajar antarabangsa ini adalah warganegara Iran yang kebanyakannya pengikut ajaran Syiah yang bergaul secara terbuka dengan mahasiswa-mahasiwa rakyat Malaysia sendiri.
"Saya percaya di dalam Universiti Teknologi Mara (UiTM) sendiri terdapat kelompok pelajar-pelajar antarabangsa yang merupakan pengikut Syiah," kata Dyana yang juga bekas pelajar UiTM dalam jurusan undang-undang.
Kebanyakan pelajar tersebut dibawa masuk menerusi Pusat Promosi Pendidikan Malaysia (Malaysia Education Promotion Centre – MEPC) dan mereka bergaul dengan pelajar tempatan.
Dyana juga mempersoalkan sama ada kerajaan akan mengarahkan pelajar antarabangsa ini berhenti atau terpaksa mengamalkan ajaran mereka secara senyap-senyap.
"Sekiranya kerajaan Malaysia serius dalam memerangi Syiah, adakah pelajar-pelajar antarabangsa yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia seperti yang digalakkan oleh kerajaan sendiri ini akan diarahkan untuk berhenti mengaji dan keluar dari Malaysia secara serta-merta?
"Ataupun, adakah mereka akan diarahkan untuk mengamalkan ajaran mereka secara sembunyi supaya umat Islam di Malaysia tidak akan keliru?" soal Dyana lagi susulan tindakan Putrajaya melancarkan perang ke atas penganut Syiah.
Dalam pada itu, Dyana juga membidas kerajaan yang berfikiran sempit sehingga mewujudkan kekeliruan di kalangan masyarakat Melayu terhadap ajaran Islam.
"Akhir sekali, saya ingin bertanya sama ada kegiatan memerangi Syiah ini khas untuk orang Melayu-Islam di Malaysia sahaja?
"Sekiranya ini benar, adakah umat Islam di Malaysia ini berlainan dengan umat Islam dari negara lain? Jika definisi Islam disempitkan di negara kita adakah ia akan bermaksud bahawa umat Islam dari negara lain itu tidak akan dianggap sebagai Islam di negara kita?" kata Dyana lagi.
Isu fahaman Syiah mendapat perhatian umum setelah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dituduh oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang penganut Syiah semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Umno 2013.
Kenyataan beliau menyebabkan Mohammad mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan tidak berasas tersebut.
Khamis lalu, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan Khomeini.
Abdul Rahim berkata selain pemikiran Mohamad dikaitkan dengan Khomeini, orang nombor dua PAS itu turut dikatakan beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah pada 2011 dikendalikan dua orang ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di sekolah agama di Gunung Semanggol, Perak.
Mohamad mengakui sememangnya mengagumi perjuangan pemimpin besar revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini tetapi itu tidak bermakna dirinya berfahaman Syiah.

Tiada ulasan: