SPECIAL ADS

24 Disember 2013

BN hilang sokongan: Pandangan Pengerusi PAC - Kajian UMCEDEL selari

Pendapat Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed selari dengan dapatan kaji selidik UMCEDEL, kata Datuk Saifuddin Abdullah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 Disember, 2013.
24 Dis : Keputusan hasil kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) membuktikan bahawa pendapat Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah berasas, kata bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin yang ditemui ketika pengumuman hasil kaji selidik UMCEDEL di Universiti Malaya hari ini berkata, jangkaan Nur Jazlan bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang  berikutan kenaikan harga barang dan kos kehidupan selari dengan dapatan UMCEDEL bahawa peningkatan kos berkenaan akan menjadi penentu kelangsungan BN.
"Jazlan bercakap ikut pengalaman beliau. Saya percaya beliau membuat kajian. Kajian UMCEDEL ini membuktikan kata-kata Nur Jazlan itu benar," kata Saifuddin.
UMCEDEL mendapati kenaikan kos barangan, tarif elektrik dan harga minyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, dan tanpa sebarang tindakan, BN akan mengalami keadaan sukar dalam PRU14.
"Tiga isu ini adalah isu utama. Dalam tempoh enam bulan kalau kita tidak selesaikannya, kesannya mungkin berpanjangan," kata bekas Menteri Pengajian Tinggi itu.
Hasil kajian UMCEDEL terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember lalu mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%.
Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak lagi mampu menjadi "pelampung penyelamat" buat BN untuk PRU14 memandangkan impak bantuan one-off kewangan berkenaan tidak lagi dirasai rakyat.
"Seramai 52% tidak bersetuju BR1M akan meningkatkan sokongan kepada BN kerana mampu mengurangkan kos sara hidup, manakala 42% sahaja bersetuju,” katanya.
Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula menyaksikan 61% responden tidak bersetuju, dengan hanya 20% sahaja yang bersetuju.
"Pengundi Cina lebih tinggi peratusan penolakan dengan 67%, kerana sebahagian besar mereka merasakan akan berlaku kenaikan harga barang jika cukai itu dilaksanakan.
"Manakala pengundi Melayu yang menolak GST pula pada kadar 61%. Ini persepsi rakyat berhubung pelaksanaan cukai ini," katanya. TMI

Tiada ulasan: