SPECIAL ADS

17 Disember 2013

Rafizi : Saya teruja pelawaan Peguam Negara

17 Dis : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengalu-alukan dan menghargai keterbukaan Peguam Negara yang mengeluarkan kenyataan semalam menjemput beliau mendapatkan surat kebenaran untuk meneliti semua akaun-akaun di dalam dan luar negara.

“Saya teruja dengan pelawaan tersebut kerana ini satu contoh teladan baik yang telah ditunjukkan oleh seorang penjawat awam tertinggi yang perlu diikuti oleh pimpinan-pimpinan lain termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan, seperti di bawah.

Saya mengalu-alukan dan menghargai keterbukaan Peguam Negara yang mengeluarkan kenyataan semalam menjemput saya mendapatkan surat kebenaran beliau untuk meneliti semua akaun-akaun beliau di dalam dan luar negara.

Saya teruja dengan pelawaan tersebut kerana ini satu contoh teladan baik yang telah ditunjukkan oleh seorang penjawat awam tertinggi yang perlu diikuti oleh pimpinan-pimpinan lain termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk memastikan bahawa seluruh proses menyemak kedudukan kewangan beliau ini berjalan dengan baik dan telus, saya akan menulis surat secara rasmi kepada beliau hari ini untuk memperincikan kebenaran mendapatkan maklumat-maklumat berikut daripada beliau:  

1. Maklumat pengenalan beliau (seperti no kad pengenalan dan passport) serta semua ahli keluarga terdekat beliau iaitu isteri, anak-anak dan menantu.

2. Surat kebenaran beliau kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia membenarkan SSM menyerahkan kepada saya maklumat semua syarikat yang mana beliau dan keluarga terdekat beliau mempunyai saham di Malaysia.

3. Surat kebenaran beliau kepada Bank Negara Malaysia dan mana-mana pihak berkuasa yang terbabit di dalam Malaysia untuk membenarkan pihak-pihak berkuasa tersebut menyerahkan kepada saya maklumat semua bank akaun yang dimiliki beliau dan keluarga terdekat beliau serta syarikat-syarikat yang dikuasai beliau dan keluarga terdekat beliau. Maklumat perbankan yang diperlukan adalah baki setiap akaun bagi setiap bulan bermula Januari 2005 hinggalah Disember 2010 iaitu tempoh masa sebelum dan selepas kes Batu Putih.

4. Surat kebenaran beliau kepada pihak berkuasa Hong Kong yang bertanggungjawab dengan pendaftaran syarikat membenarkan agensi itu menyerahkan kepada saya maklumat semua syarikat yang mana beliau dan keluarga terdekat beliau mempunyai saham di Hong Kong.

5. Surat kebenaran beliau kepada pihak berkuasa Hong Kong yang bertanggungjawab menyelia industri bank untuk membenarkan pihak-pihak berkuasa tersebut menyerahkan kepada saya maklumat semua bank akaun yang dimiliki beliau dan keluarga terdekat beliau serta syarikat-syarikat yang dikuasai beliau dan keluarga terdekat beliau di Hong Kong. Maklumat perbankan yang diperlukan adalah baki setiap akaun bagi setiap bulan bermula Januari 2005 hinggalah Disember 2010 iaitu tempoh masa sebelum dan selepas kes Batu Putih. 

Surat tersebut yang mengandungi perincian ini akan dihantar pada hari ini dan saya akan menunggu maklumbalas dari Tan Sri Gani Patail. Jika beliau bersetuju, saya sendiri akan mengambil surat-surat kebenaran ini pada bila-bila masa yang ditetapkan beliau. 

Maklumat-maklumat ini penting untuk memastikan bahawa keseluruhan akaun dan entiti yang boleh dipengaruhi dan dikuasai oleh Tan Sri Gani Patail diisytiharkan dan didedahkan untuk semakan umum, bersesuaian dengan kesediaan beliau untuk berlaku telus dalam perkara ini. 

Jika setelah proses ini berjalan dan tidak ada satu pun baki atau transaksi besar sepanjang tempoh itu di dalam mana-mana akaun yang terbabit, saya percaya Tan Sri Shafee Abdullah perlu meminta maaf kepada Tan Sri Gani Patail kerana membuat dakwaan yang mengaitkan Peguam Negara dengan kes sogokan wang, seperti mana yang terkandung di dalam Akuan Bersumpah Datuk Mat Zin Ibrahim. 

Saya akan menunggu jawapan positif dari Tan Sri Gani Patail. HD

Tiada ulasan: