SPECIAL ADS

28 Disember 2013

Berbeza pendapat bukan alasan perlu tinggalkan Malaysia

Mereka yang selalu mempertikaikan kerajaan sebenarnya lebih sayangkan negara kerana sentiasa ingin memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dengan kuasa yang dimiliki. Gambar fail.
29 Dis : Rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan berbeza dengan Putrajaya bukan tidak patriotik atau perlu meninggalkan negara ini selepas berbeza pendapat dengan menteri, kata penganalisis.
Mereka yang selalu mempertikaikan kerajaan sebenarnya lebih sayangkan negara ini, kata ahli politik pembangkang dan juga penganalisis.
Ketika memberikan komen terhadap pemimpin Umno yang mencadangkan agar pihak yang tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) meninggalkan negara ini, mereka berkata, ia adalah sikap besar kepala yang menunjukkan mereka kurang pengetahuan dan tidak faham perasaan pihak lain.
Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Jayum Jawan berkata, adalah menjadi hak rakyat untuk menyampaikan pandangan mereka terhadap tingkah laku kerajaan.
"Kerajaan adalah wakil yang kita pilih untuk mentadbir dan tidak semestinya mereka boleh berbuat apa sahaja yang mereka mahu.
"Kuasa kita tidak tamat selepas kita mengundi, ia akan kekal sehinggalah penggal mereka tamat," katanya kepada The Malaysian Insider.
Katanya, menyatakan sesuatu pendapat tidak ada kaitan langsung dengan tidak patriotik atau tidak taat kepada negara.
Kerajaan BN sepatutnya tidak perlu takut dengan apa yang dikatakan oleh rakyat, katanya.
"Pendapat sesetengah kumpulan tidak semestinya mewakili pandangan semua rakyat Malaysia. Apa yang kerajaan patut buat adalah memahaminya.
"Saya tidak tahu apa yang pemimpin kita takut sangat. Mengapa mereka tidak bertemu dengan orang sebegini dan berbincang untuk mendapatkan maklumat bagi meningkatkan kualiti negara kita," katanya.
Katanya, mendapatkan maklum balas tidak bermakna menerima semua cadangan itu tetapi ia boleh menyeimbangkan keperluan setiap pihak untuk menghasilkan pelan dan polisi terbaik negara.
Jayum memberikan reaksi ke atas kenyataan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat yang berkata adalah senang bagi sesetengah pihak untuk mengkritik kelemahan Putrajaya tetapi mengenepikan kebaikan yang dibuat terutama dalam membentuk suasana yang aman dan harmoni.
"Sesetengah pihak yang suka membuat kacau dan mengganggu keharmonian negara sebenarnya tidak berterima kasih terhadap kebaikan yang mereka kecapi.
"Mengapa mereka mahu menghancurkan keamanan negara dengan menganjurkan perhimpunan untuk mengguling kerajaan?" katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan bagi menentang cadangan perhimpunan 31 Disember di Kuala Lumpur yang didakwa sebagai mahu menggulingkan kerajaan.
Penganjur perhimpunan membantah kenaikan harga barang yang akan diadakan sempena sambutan tahun baru 2014 menafikan dakwaan mahu menggulingkan kerajaan dengan berkata ia hanya perhimpunan untuk menzahirkan perasaan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.
Profesor James Chin, penganalisis politik dari Universiti Monash ketika mengulas isu ini berkata, ia hanya kenyataan besar kepala pemimpin Umno.
"Mereka ingat mereka akan menjadi kerajaan selama-lamanya. Jika inilah caranya pemimpin Umno menilai diri mereka, maka tidak ada kemungkinan perubahan demokrasi akan berlaku di Malaysia.
"Jika Umno hilang kuasa, adakah dia akan tinggalkan Malaysia?" soal beliau.
Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) pula berkata, kenyataan Zaiton itu adalah lambang sikap tidak faham hak rakyat untuk membuat kritikan terhadap pemimpin kerajaan.
"Meminta rakyat meninggalkan negara ini adalah bertentangan dengan perlembagaan, setiap rakyat Malaysia berhak untuk kekal tinggal di negara ini. Orang yang membuat kritikan adalah lebih patriotik berbanding dengan pihak yang hanya diam apabila berlaku sebarang kesalahan. 
"Mempertikai dan mengkritik adalah tindakan patriotik. Memastikan kerajaan bertanggungjawab adalah tindakan yang patriotik," katanya.
Surendran, ahli parlimen Padang Serai itu bagaimanapun berkata, dia tidak terkejut dengan kenyataan Zaiton itu. Ia hanya menunjukkan pemimpin Umno tidak tahu pun Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kebebasan untuk berhimpun.
Ia juga menunjukkan pemimpin Umno tidak mampu untuk berbincang secara terbuka dengan orang ramai dalam isu nasional, tambahnya.
Naib Presiden DAP, M. Kulasegaran (gambar) berkata, pemimpin seperti Zaiton memerlukan pendidikan semula bagi mempelajari bagaimana untuk menjadi pemimpin yang inklusif dan bersikap wajar dalam sistem demokrasi.
Beliau mempersoalkan apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib atau timbalannya Tan Sri Muhyidin Yassin akan meminta Zaiton memohon maaf atau buat-buat tidak tahu tentang hal ini.
"Kita bukan pendatang, kita adalah warganegara ini. Ia sangat menjengkelkan untuk mengeluarkan perkataan seperti itu. Ia hanya menunjukkan betapa lemahnya dia dalam menghadapi pihak yang berbeza pendapat," katanya.
Ahli Parlimen PAS dari Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula berpendapat, mereka yang mengkritik pemimpin adalah mereka yang sayangkan negara dan mahu melihat perubahan ke arah kebaikan.
"Kita tidak mahu melihat pemimpin yang terasa senang.
"BN adalah pembangkang di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Jadi jika mereka tidak bersetuju dengan polisi kerajaan negeri ini, adakah ini bermakna mereka juga harus meninggalkan negeri itu juga?" tanya beliau.
Bagi beliau, Zaiton lebih baik bersara daripada politik agar tidak terus menunjukkan kebodohan dirinya sendiri kepada dunia. TMI

Tiada ulasan: