SPECIAL ADS

10 Disember 2013

Adakah tulisan Zaid Ibrahim bersifat hasutan?

Datuk Zaid Ibrahim Tweeted today that if paying taxes was patriotic, as the prime minister stated, then Chinese were the true patriots as they paid the most task. — Picture by Choo Choy May
11 Dis : Baru-baru ini Datuk Zaid Ibrahim menulis beberapa artikel yang kontroversi. Nama blog dia hebat - Zaidgeist , suatu ubah suai zeitgeist. Lihatlah Google kalau mahu tahu maksud perkataan ini. Sebagai seorang yang berada dalam gelombang semangat atau citarasa semasa atau sezaman, Zaid Ibrahim berada di kalangan kelompok hadapan mengartikulasi dan menjadi jurucakap semangat sezaman yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).  Zeitgeist puak Umno pula ialah menjadikan diri mereka jurucakap faham perkauman yang melampau.
Ada dua artikel terbaru yang mesti disambut oleh puak Umno. Pertama mengenai kritikan Zaid mengenai tanah rizab Melayu. Kedua mengenai kritikan Zaid terhadap Umno menjadikan Melayu tidak bertamadun.
Saya tidak berapa kenal dengan Zaid Ibrahim. Setahu saya  Zaid ada firma peguam yang besar. Kemudian dia jadi Ahli Parlimen Kota Bharu. Pernah jadi menteri zaman Pak Lah. Zaid, setahu saya instrumental menyebabkan kerajaan membayar pampasan kepada beberapa hakim yang dibuang kerana menyokong Tun Salleh Abbas.
Apa yang menjadikan Zaid legenda dalam politik Malaysia ialah kesanggupan dia meletakkan jawatan menteri kerana tidak setuju atas dasar prinsip.
Kemudian dia pernah aktif dalam PKR. Bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Kuala Selangor. Banyak tuduhan bersifat peribadi dilemparkan kepada Zaid ketika itu. Kaki minum dan sebagainya.  Sehingga saya ingat suatu ketika Tok Guru Nik Aziz menyatakan Zaid sudah berhenti minum.
Dia banyak menulis isu yang kontroversi. Hampir semua ulasan Zaid dalam bahasa Inggeris yang baik. There is an easy flow in the way he writes which makes for a pleasant reading. Saya sendiri boleh menulis sikit-sikit dalam Bahasa Inggeris standard sekolah atap, rasanya tidak mampu menulis cara Zaid Ibrahim. Tambahan pula, anak Pekan Pahang yang boleh menulis dan bertutur Bahasa Inggeris hanya Datuk Najib Razak seorang sahaja.
Bahasanya mudah difahami dan perjalanan minda dia lancar dan teratur. Ini tulisan bukan orang dalam berkeadaan khayal, mabuk atau minum air ketum.
Saya masih ternanti-nanti hero dan heroin cerita Tamil Umno buat laporan polis terhadap tulisan Zaid Ibrahim. Sedikit waktu dahulu, dia menulis mengenai isu tanah rizab Melayu. Dia suruh grant-putihkan semua tanah rizab Melayu supaya nilai yang terkunci pada tanah-tanah tersebut terlerai.  Jika tidak tanah rizab Melayu yang dikatakan tidak boleh dijual kecuali kepada orang Melayu, lambat laun kerajaan Umno akan ambil dan jual kepada Cina dan India. Lihat apa terjadi kepada tanah di dalam kawasan Tropicana. Kita pun sudah tahu keluasan tanah rizab Melayu semakin mengecil bila kerajaan menganugerahkan tanah  itu kepada kroni. Tidak seorang pun wira dan wirawati Umno tampil ke depan menjuarai tanah rizab Melayu yang Umno beri kepada kroni. Tidak seorang pun ke depan menyanggah tulisan Zaid Ibrahim mengenai perkara ini. Apa sudah jadi pada ribut dan halilintar semasa perhimpunan agung baru-baru ini?
Dan saya ternanti-nanti juga bantahan bahkan laporan polis oleh soldadu Umno berhubung tulisan Zaid mengenai jika Umno tidak ada, orang Melayu lebih bertamadun. Sekali lagi saya hampa. Cis, di mana hulubalang Umno? Tidak ada laporan polis? Umno rupa-rupanya yang menyebabkan Melayu tidak bertamadun!
Bantahan yang terbuat oleh pemimpin Uno standard ahli JKKK ini hanyalah maki dan hamun. Zaid kaki minum dan mabuk. Pemimpin Umno pun kalau saya hendak cerita satu persatu pun kaki mabuk. Kemudian, puak Umno akan mengatakan Zaid jangan cakap besar - dia kaya raya pun sebab Umno yang beri.
Kepada mamat Umno ini izinkan saya terangkan bagaimana Umno kaya. Umno kaya kalau (1) dapat saham percuma atau 100% pembiayaan (2) Umno dapat konsesi tanah seperti Mustapha Kamal dapat ribuan ekar di Cyberjaya (3) Umno dapat AP – kereta, impot sayur, lada, kobis, daging, beras, gula dan macam-macam pun ada (4) Umno dapat kontrak dan tender terpilih dan tender tertutup (5) Umno jadi orang tengah membeli atau menjual untuk kerajaan.
Ini cara orang Umno kaya. Jika kita lihat, tidak satu pun cara kaya tersebut melalui menghasilkan sesuatu. Semua kaya kerana pemilikan ke atas sesuatu sumber - tanah, AP, konsesi, kontrak. Sebab itu kita kata puak Umno ini kebanyakannya rent seekers. Mereka jadi kaya kerana pemilikan ke atas sesuatu sumber pengkayaan bukan penghasilan khidmat atau barangan.
Jadi saya nak geng Umno ini menyenaraikan kekayaan Zaid. Berapa konsesi dia dapat? Berapa AP? Berapa kontrak dan tender terpilih dan tertutup? Berapa unit saham dia dapat? Berapa komisyen Zaid dapat?
Dedahkan ini semua supaya rakyat tahu betapa kayanya Zaid dan adakah semua itu Umno beri?
Jangan tak dedah pulak setelah sekian lama memekik melolong menghamburkan caci nista tapi tak termampu menangkis apa yang Zaid sebut melalui penghujahan. 
sakmongkol.blogspot.com,
* Penulis atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub.

Tiada ulasan: