SPECIAL ADS

16 September 2014

Akta Hasutan Halang Malaysia Jadi Negara Demokrasi Berjaya

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh menjadi sebuah negara demokrasi yang berjaya dengan kewujudan Akta Hasutan, kata ahli Majlis Konsultasi dan Perpaduan Nasional (MKPN), Datuk Saifuddin Abdullah.

"Hanya ada satu sebab untuk mengekalkan akta tersebut dan sebab utama itu adalah untuk menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat.

"Kita tidak boleh menjadi negara demokrasi yang baik sekiranya terus memupuk budaya ketakutan.
"Saya orang lama dalam parti politik tetapi Akta Hasutan memberi kesan kepada semua pihak. Sesiapa saja boleh terkena kesan akta tersebut, dan terdapat pelbagai masalah dengan akta itu," kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di sini, Isnin.

Beliau turut menganggap akta tersebut sebagai undang-undang yang zalim kerana sesiapa sahaja boleh didakwa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menggesa Akta Hasutan dimansuhkan sebanyak tiga kali.

"Saya yakin perdana menteri benar-benar mahu akta itu dimansuhkan tetapi terdapat segelintir pihak yang menghalang beliau berbuat demikian," kata Saifuddin.
Beliau berkata, pemansuhan akta tersebut bukan sahaja memacu Malaysia menjadi negara demokrasi yang berjaya dan berdaya saing.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, akta tersebut tidak akan menghentikan suara rakyat Malaysia.

"Bersih melancarkan kempen 'Make My Day', bertujuan untuk membuktikan rakyat tidak gentar.

"Kita ada hak untuk bersuara, kita ada hak untuk mengetengahkan isu penting mengenai negara kita. Kita mempunyai hak untuk berkongsi pendapat di Twitter dan Facebook.

"Rakyat akan terus memperjuangkan hak mereka," kata Maria.

Tiada ulasan: