SPECIAL ADS

27 September 2014

Negara Barat lebih Islamik daripada negara OIC

Profesor Dr Nader Hashemi berpendapat banyak negara Barat adalah lebih Islamik daripada anggota OIC. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 27 September, 2014.
Banyak negara Barat, termasuk Kanada, sebenarnya lebih Islamik daripada negara majoriti umat Islam, kata Profesor Dr Nader Hashemi.
Nader, Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Denver, turut mengisytiharkan bahawa Kanada adalah lebih Islamik daripada negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
"Kanada mengamalkan kebebasan beragama, kebebasan berhimpun dan mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang cemerlang," kata Nader semasa simposium di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur hari ini.
Simposium bertajuk "Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal" dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front dan Institut Pulau Pinang.
Katanya ia kerana Kanada mengamalkan nilai-nilai sebenar yang diajar agama Islam.
"Malangnya, nilai-nilai ini tidak wujud di negara-negara majoriti Islam," kata Nader.
"Jika diberi pilihan, ramai orang Islam Kanada lebih suka hidup di Kanada daripada di negara majoriti Islam di mana mereka berisiko kehilangan kualiti ini."
Nader berkata bagi umat Islam untuk berhijrah dari sekularisme kepada kemodenan, ia penting untuk mempunyai sistem demokrasi yang sihat.
"Pilihan raya bebas dan adil, ia perlu adil dalam pertandingan dan pengundi perlu dijamin kiraan undi akan mewakili undi popular," katanya.
Beliau berkata persekitaran bebas perlu ditanam untuk membolehkan orang ramai meluahkan perasaan tanpa takut diheret ke penjara jika mereka melintas garis merah.
Nader berhujah, ketakutan dan penindasan boleh melemahkan asas reformasi politik, tawar-menawar dan rundingan.
Dalam beberapa minggu ini, Putrajaya dikritik dalam dan luar negara ekoran pendakwaan Akta Hasutan 1948 yang semakin meningkat.
Banyak ahli parlimen pembangkang didakwa di bawah Akta Hasutan, bersama-sama pelbagai individu lain daripada pelbagai latarbelakang.
Pemimpin pembangkang yang disasarkan Putrajaya terbaru di bawah Akta Hasutan adalah tidak lain daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Siasatan hasutan terhadap Anwar menarik kritikan terhadap Putrajaya yang mempersoalkan mengapa tiga tahun berlalu baru siasatan dijalankan terhadap Anwar.
Bagaimanapun Nader mengakui parti politik yang memerintah atau gabungan akan enggan melaksanakan pembaharuan itu kerana takut cengkaman kuasa mereka akan longgar.
"Ia sukar membina masyarakat yang bebas daripada penindasan. Parti pemerintah lebih suka membeli undi, bukannya menyerah kuasa secara sukarela."
"Masyarakat Islam perlu menghadapi cabaran di mana kumpulan-kumpulan politik yang mempunyai kewangan yang kuat memanipulasi orang Islam kepada ideologi mereka."
"Jika anda tidak mengenali demokrasi dan hak asasi manusia, maka ia sukar bagi sekolah-sekolah yang berbeza pemikiran dalam Islam untuk mendamaikannya dengan toleransi kembar."
Nader menjelaskan toleransi berkembar adalah sempadan minima yang harus diakui oleh negara dan agama.
"Kunci toleransi berkembar ialah kumpulan agama tidak boleh veto keputusan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan institusi negeri tidak boleh mengharamkan kumpulan-kumpulan agama."
Nader menambah, konsep negara Islam yang sedang diperjuagkan di Timur Tengah bukanlah pengakhirannya.
"Penubuhan negara Islam adalah semata-mata pelopor kepada penubuhan Negara Islam global," kata Nader.TMI

Tiada ulasan: