KUALA LUMPUR: Tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana parti politik mewujudkan badan kebajikan atau badan amal masing-masing asalkan ia tidak mengambil alih tugas pihak keselamatan, demikian menurut seorang ahli akademik.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berpendapat unit amal sesuatu parti politik hanya bertugas untuk parti dan bukan untuk menjaga keselamatan rakyat yang merupakan tugas pihak berkuasa.
"Unit Amal PAS misalnya, ia berperanan untuk menguruskan kebajikan dan bantuan termasuk ketika bencana serta menjalankan tugas ketika aktiviti parti itu dijalankan.
"Ia merupakan unit di dalam parti dan tidak ditubuhkan oleh kerajaan negeri... yang paling penting ia juga tidak mengambil alih tugas polis," katanya kepada Bernama.
Mohamed Mustafa berkata berbeza dengan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri sedangkan di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa aspek menjaga keselamatan dalam negeri adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
"Kalau ia berperanan sekadar sebagai unit amal di bawah parti itu tidak apa tetapi sekiranya ia di bawah kerajaan negeri seperti PPS dan seolah-olah mahu mengambil alih tugas pihak berkuasa, itu salah dan bercanggah dengan perlembagaan," jelas beliau.
Katanya semua pihak dan individu sememangnya digalakkan menjadi mata dan telinga membantu polis tetapi bukannya dengan menyertai jabatan keselamatan yang tidak berdaftar dan seolah-olah berebut kuasa dengan pihak berkuasa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan