SPECIAL ADS

23 September 2014

Mampukah Azmin atasi rekod cemerlang Khalid?

Krisis pertukaran menteri besar Selangor yang menjadi topik hangat sejak beberapa bulan lepas akhirnya menemui titik penamat selepas Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah jawatan menteri besar yang baharu hari ini.
Pastinya akan ada pihak tertanya-tanya apakah kelebihan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa yang melayakkan beliau untuk memegang jawatan utama kerajaan negeri Selangor.
Mohamed Azmin, 50, yang juga ahli Parlimen Gombak, mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang pada kira-kira 10.45 pagi.
Kelebihan Azmin
Beberapa penganalisis politik berpendapat kelebihan yang dimiliki ahli Parlimen Gombak itu dapat disaksikan melalui penglibatan beliau dalam arena politik tanah air.
"Dalam konteks PKR, Azmin dilihat antara individu yang paling setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua umum PKR) dan selain itu pengalaman politik beliau bersama Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) menjadikan beliau sebagai ahli politik yang bijak dan licik," kata penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali.
Bagaimanapun, Penganalisis Politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain berkata, jawatan timbalan presiden PKR  yang disandang Azmin pastinya menjadi nilai tambah kepada pengalaman yang dimilikinya.
"Daripada segi prestasi, saya masih belum lagi nampak lagi beliau seorang tokoh politik yang berkaliber," katanya.
Kemampuan Azmin atasi Khalid
Persoalan yang timbul kini, mampukah Azmin mengatasi rekod cemerlang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mentadbir Selangor?
Che Hamdan, yang juga pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu berpendapat dalam pengurusan negeri, corak pentadbiran Khalid masih yang terbaik dan sukar ditandingi Azmin.
"Cuma daripada segi agenda politik, Adun Bukit Antarabangsa itu mampu melonjakkan populariti Pakatan Rakyat (PR) terutamanya di kawasan luar bandar.
"Saya yakin Azmin pastinya akan mengutamakan parti dan menjadikan platform menteri besar untuk lebih popular dan membangunkan kawasan luar bandar," katanya.
Mohd Izani berkata kejayaan dan pencapaian yang pernah diperoleh Khalid dalam menguruskan negeri akan menjadi faktor perbandingan kepada rakyat untuk menilai keupayaan Azmin dalam menerajui kerajaan negeri.
Katanya, keupayaan Azmin itu sama ada setara atau lebih baik daripada Khalid merupakan faktor penting yang bakal menentukan sokongan rakyat kepada parti PR dalam pilihan raya umum ke-14, akan datang.
"PKR yang sebenarnya mahu tukar menteri besar kerana Khalid dikatakan tidak efisyen. Sekarang Azmin harus buktikan kemampuan dirinya sama ada setara atau lebih baik," katanya.
Sejurus mengangkat sumpah, Azmin pada sidang media di Istana Alam Shah memberi jaminan pentadbiran kerajaan negeri olehnya akan terus memacu pertumbuhan ekonomi mampan selain mengagihkan kekayaan negeri secara adil kepada seluruh rakyat.
Tumpuan kini kepada PKR
Izani daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata tumpuan kini sudah pastinya kepada PKR yang sebelum ini lantang mencalonkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.
"Azmin mengangkat sumpah jawatan menteri besar dan ia perlu diterima dengan hati terbuka terutamanya parti-parti di dalam Pakatan Rakyat. Sekarang semua orang sedang memerhatikan PKR sama ada menerima keputusan ini dengan hati terbuka atau tidak.
"PKR harus kotakan sokongan kepada Azmin dan beri peluang dan ruang untuk beliau memimpin Selangor dan PKR tidak seharusnya campur tangan dalam urusan kerajaan negeri," katanya.
Semalam, Dr Wan Azizah dilapor sebagai berkata beliau menerima dengan hati terbuka pemilihan Azmin.
"Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bermesyuarat juga sebulat suara bersetuju agar Azmin diangkat sebagai menteri besar Selangor," kata Dr Wan Azizah.
Izani berkata, rakyat khususnya warga Selangor pastinya akan melihat bagaimana sokongan PKR kepada Azmin yang dilihat amat penting dan signifikan bagi membolehkan menteri besar Selangor yang baharu itu memainkan peranan dengan lebih berkesan.
"PAS tidak ada masalah (untuk menyokong) sebab selama ini parti itu memang mencalonkan Azmin menjadi MB. Pemilihan Azmin adalah takdir yang ditentukan dan ini menunjukkan dalam politik segalanya boleh berlaku," katanya.
Pemilihan Azmin penamat krisis
Izani berkata keputusan Sultan Selangor memilih Azmin adalah keputusan diplomatik, sebagai satu jalan tengah bagi mengakhiri kemelut pertukaran menteri besar.
"Saya melihat PAS kini boleh menarik nafas lega kerana bebanan yang dipikul ekoran kemelut ini hilang dengan pemilihan menteri besar bukan daripada Adun PAS.
"Jika menteri besar daripada PAS, sudah tentu parti itu akan menjadi sasaran rakan Pakatan Rakyat sehingga akan menimbulkan usul undi tidak percaya sekaligus mewujudkan pilihan raya negeri. Ini sudah tentu menimbulkan kesusahan," katanya.
Katanya, Azmin bagaimana pun perlu sedar beliau bukanlah menteri besar untuk PKR sahaja tetapi untuk PAS dan DAP serta seluruh rakyat Selangor.
Izani berpendapat Azmin, selaku orang nombor dua PKR, boleh memainkan peranannya sebagai ejen penyatuan PAS, PKR dan DAP di Selangor namun Che Hamdan berpandangan sebaliknya.
Che Hamdan berkata ia agak sukar dilaksanakan apatah lagi Azmin bukanlah individu yang mendapat mandat daripada keseluruhan anggota PKR untuk menjawat jawatan itu.
Pada peringkat awal, nama Adun Bukit Antarabangsa itu tidak disenaraikan langsung untuk jawatan utama itu.
Izani berkata krisis pertukaran menteri besar ini seharusnya menjadi pengajaran kepada parti politik konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan masih kekal utuh di negara ini.
"Jelas sekali pelantikan menteri besar masih memerlukan perkenan Sultan," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: