SHAH ALAM : Perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dimeterai antara Kerajaan Negeri dan kerajaan pusat baru-baru ini disambut baik sebilangan besar rakyat.
Tinjauan Selangor Kini di Facebook mendapati rata-rata masyarakat bersetuju dengan keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menandatangani perjanjian itu bagi kepentingan rakyat di samping memastikan bekalan air mentah mencukupi bagi jangka masa panjang.
Seorang pengguna, Mohd Nazirul Ariff berpendapat keteguhan Menteri Besar itu memeterai perjanjian air adalah atas kapasiti keperluan rakyat dan bukannya ingin mengambil kesempatan.
“Saya percaya keteguhan Tan Sri adalah atas keperluan rakyat dan bukan mengambil kesempatan atas rakyat.
“Teruskan usahamu Tan Sri Khalid, semoga sentiasa diberkati,” katanya.
Bagi Rachael Eng Chai Mooi, krisis kekurangan bekalan air perlu diselesaikan segera berikutan populasi penduduk serta pembangunan di negeri itu kian pesat.
Katanya Abdul Khalid benar-benar memahami kesusahan rakyat yang terganggu berikutan tiada bekalan air beberapa bulan lalu dan berusaha menyelesaikannya melalui pemeteraian perjanjian itu.
Seorang lagi pengguna, Jonizar Sarudin berpandangan usaha bersama Kerajaan Negeri dan kerajaan pusat itu tidak perlu dipertikai kerana ia jelas demi kebaikan rakyat Selangor.
“Janganlah pertikaikan demi kebaikan rakyat Selangor kerana tidak salah bagi seorang Menteri Besar untuk berusaha mendapatkan (yang terbaik) demi kelancaran air di negeri itu,” katanya.
Selain itu, beberapa komen turut diberikan antaranya daripada Mhanif Ismail yang berkata “terima kasih Tan Sri Khalid kerana memeterai perjanjian demi rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta untuk keselesaan kehidupan harian.”
Mohd Termizi Mat Darus pula berkata, “diharap apa yang telah Tan Sri lakukan dapat memberi kebaikan secara keseluruhan kepada rakyat Selangor khususnya. Tiada lagi perjanjian yang berat sebelah.”
Terdahulu kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Berikutan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd, entiti yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan