SPECIAL ADS

30 September 2014

Selagi Mahathir kritik Najib, berlaku sesuatu di luar jangka?

KUALA LUMPUR: Sejak Tun Mahathir Mohamad mengumumkan sikapnya tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam masa yang sama telah wujud beberapa kumpulan dalam Umno yang bertujuan mahu membawa sikap dan pendirian bekas Perdana Menteri itu ke arah yang lebih jauh.

Hujah mahu Perdana Menteri berundur ialah selagi Najib memimpin parti dan kerajaan, peluang Umno dan BN ditumbangkan dalam pilihan raya umum nanti lebih mudah lagi kerana beliau dianggap terlalu lemah dan banyak isu peribadi yang boleh dimanipulasi oleh pembangkang, tulis Shahbudin Husin.

Menurutnya, Mahathir sendiri dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO baru-baru ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai kehilangan kuasa itu jika Najib terus berkuasa lagi.

"Ini secara umumnya memberi gambaran bahawa teguran dan kritikan itu adalah bertujuan memastikan Umno dan BN terus berkuasa melalui sama ada Najib dipaksa berubah atau diubah kedudukannya," tulis Shahbudin menerusi blognya semalam.

Bagaimanapun, baginya Najib bukan saja dilihat kebal kerana sokongan pemimpin Umno masih kukuh terhadapnya, banyak juga kesimpulan yang mengatakan sebahagian kekuatan Najib terletak kepada peranan isterinya.

Namun begitu, sejauh mana Rosmah memainkan peranannya tidak pula dijelaskan tetapi daripada suara-suara yang kedengaran beliau juga ada pengaruh.

Justeru, macam-macam kebarangkalian selagi Mahathir terus bersuara dan mengkritik Najib dan tidak mustahil sesuatu yang di luar jangkaan akan berlaku. HD

Tiada ulasan: