SPECIAL ADS

30 September 2014

Pencabulan akademik letak universiti terbelakang



KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) meratapi pencabulan kebebasan akademik dan pelanggaran kebebasan bersuara yang merupakan satu hak asasi manusia yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan. 

"PMUM menyatakan kebimbangan kami terhadap pencabulan hak asasi manusia, kebebasan untuk bersuara dan juga prinsip keramat kebebasan akademik," kata presidennya, Fahmi Zainol. 

Sebelum ini, ujarnya berlaku kepada Prof Redzuan dan Prof Azmi Shahrom, kini tiba pula Prof Madya Aziz Bari. 

Tambahnya, PMUM mengutuk pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 yang bakal dikenakan terhadap Aziz Bari oleh kerana pertuduhan itu melambangkan serangan terhadap kebebasan komuniti akademik, etika asas sebuah negara maju yang demokratik. 

Oleh itu, tegasnya demi kebebasan akademik dan kebebasan untuk bersuara untuk semua, termasuklah ahli akademik Malaysia di masa akan datang, juga dapat menjamin sebuah negara yang demokrasi secara menyeluruh, PMUM menuntut dan mendesak kerajaan untuk:

- Memansuhkan dengan segera Akta Hasutan 1948 yang merupakan peninggalan pemerintah kolonial yang zalim kerana berpotensi mengekang kebebasan asasi bersuara secara mutlak.

- Memastikan semua cabang kerajaan mentadbir urus negara dengan lebih baik di masa hadapan dan seterusnya memberikan jaminan kebebasan asasi yang berterusan bagi semua rakyat Malaysia.

- Meningkatkan kehormatan terhadap kebebasan akademik, kerana tanpanya, seluruh universiti-universiti di Malaysia akan kekal terbelakang di peringkat antarabangsa.

"Di peringkat PMUM, kami tidak teragak-agak untuk turun solidariti sekiranya Aziz Bari didakwa di bawah Akta Hasutan. 

"Kami akan menghimpunkan mahasiswa dan pensyarah seluruh Malaysia untuk mengutuk tindakan kerajaan yang jelas dan terang mencabuli berkenaan hak asasi manusia iaitu kebebasan bersuara," ujarnya lagi. HD

Tiada ulasan: