SPECIAL ADS

14 September 2014

Malaysia makin ‘rasis’?

Pengerusi Negara-ku Zaid Kamaruddin berkata dakwaan yang mengatakan suara Melayu-Islam akan semakin terhakis sekiranya Umno kalah adalah tidak benar sama sekali. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 September, 2014.
Malaysia yang berbilang kaum dan agama menjadi semakin “rasis” dan penuh kebencian kerana Umno bukan lagi sebuah parti kuat, kata Pengerusi Gerakan Rakyat untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-ku), Zaid Kamaruddin.

Zaid berkata majoriti masyarakat Melayu selama ini bergantung pada Umno dan sebahagian daripada mereka terasa tergugat apabila parti Melayu itu semakin kurang pengaruh dan kalah dalam pilihan raya.

"Umno selama ini kuat, stabiliti tidak menjadi isu dan tidak dipersoalkan, tetapi apabila parti Umno dan Barisan Nasional (BN) mula tergugat, suara-suara ini mula muncul,” kata Zaid dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

"Pelbagai isu yang ditimbulkan, misalnya kalau Umno kalah, Melayu akan kalah, apa lagi akan tinggal dan sebagainya, termasuk dakwaan mereka (pembangkang) akan ubah Perlembagaan," kata Zaid, merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak Pakatan Rakyat (PR) akan mengubah Perlembagaan negara jika mereka berkuasa.

Menurut Zaid, dakwaan sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mengatakan suara Melayu-Islam akan semakin terhakis sekiranya Umno kalah adalah tidak benar sama sekali.

"Umno kalah pun, yang akan menang kebanyakannya adalah PAS. Jadi tidak sepatutnya matematiknya begitu (Umno kalah, Melayu kalah) tetapi itulah yang ditimbulkan, dalam konteks yang salah pula," katanya.

Zaid berkata kerisauan inilah menyebabkan isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, seperti Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan institusi raja, Bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan sebagainya ditimbulkan.

"Kita tahu perkara itu tidak tergugat pun. Untuk mengubahnya perlukan kelulusan dua pertiga di Parlimen dan juga memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja Melayu untuk meminda.

“Jadi sepatutnya orang Melayu tidak rasa tergugat," katanya.

Menurut Zaid, Negara-ku ditubuhkan sebagai gerakan rakyat untuk memastikan hubungan antara kaum dan agama baik di Malaysia.

“Pada ketika ini, hubungan antara kaum dan agama isu yang amat menggusarkan masyarakat,” katanya.

Bagi Zaid, yang sedar perlu berbuat sesuatu apabila kenyataan kebencian sampai ke peringkat pihak berjawatan tinggi dalam politik juga menimbulkan isu ini.

"Cabar mencabar berlaku. Isu 13 Mei juga dibangkitkan. Kita tidak tahu, apakah ia satu nasihat atau satu ugutan," katanya merujuk kepada tragedi berdarah 13 Mei, 1969.

Menurut Zaid, jika dilihat unjuran ke hadapan, isu ini sudah membawa kepada jalan yang tidak berapa bagus dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Dari situlah asalnya gerakan ini," kata Zaid yang memberitahu, sehingga kini Negara-ku masih tidak berdaftar dan merupakan sebuah gabungan 86 NGO.

Akibatnya, baru-baru ini Zaid dipanggil Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) yang bertanyakan kedudukan Negara-ku.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak punyai masalah dengan perhubungan antara kaum, tetapi kenyataan pemimpin bersifat kebencian dan rasis mencetuskan idea untuk menubuhkan Negara-ku sebagai badan yang mahu mempertahankan asas pembentukan Malaysia.

"Alhamdulillah, sama ada secara sedar atau tidak, selepas kita tubuhkan badan ini, kenyataan sebegitu sudah berhenti," kata Zaid.

Menurut Zaid, apa yang berlaku sebelum ini adalah masyakat Malaysia tidak berapa berhubung antara satu sama lain dan tinggal dalam kelompok masing-maisng.

Zaid berkata Negara-ku adalah tapak membolehkan perhubungan dan perbincangan antara pihak yang menyertainya, untuk mencari jalan penyelesaian selepas melihat apa yang berlaku.

"Kita mencari tapak asas kenapa perkara ini berlaku," kata Zaid, menjelaskan antara tujuan Negara-ku ditubuhkan, yang menjadi platform kepada pelbagai jenis NGO terdiri daripada gerakan masyarakat sivil itu.

Bagi Zaid, jika masyarakat Malaysia punyai asas yang kuat, sebarang cadangan berbuat apa sahaja, termasuk cadangan meminda Perlembagaan sekalipun, ia perlu dibincangkan.

"Jadi, tidak sepatutnya apabila hanya seorang mencadangkan ia (Perlembagaan) dipinda, ia sudah menjadi gawat, ia sudah mahu berlaku esok kalau kita tidak jaga dan sebagainya," kata Zaid kerana prosesnya panjang dan perlu mengambil kira pandangan semua orang, termasuk rakyat sendiri.

Zaid berkata Negara-ku berperanan memberikan platform kepada orang ramai menyalurkan pandangan dan supaya rakyat boleh berdiri berkata, "Tidak" kepada sebarang usaha untuk memecahkan masyarakat.

Beliau yang juga naib presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berkata semua isu dalam masyarakat sepatutnya dibincangkan dengan baik, termasuk isu dalam kelompok masyarakat yang lain.

"Kalau penting bagi mereka, ia seharusnya penting juga bagi kita dan kita perlu melihatnya dalam ruang lingkup Perlembagaan," kata Zaid. TMI

Tiada ulasan: