SPECIAL ADS

15 September 2014

Pemimpin-pemimpin Sabah tidak menyokong pemisah


FOKUS SABAH: Menjelang sambutan Hari Malaysia, cakap-cakap tentang kemerdekaan, penentuan nasib sendiri dan pemisahan berada di bibir setiap orang, baik secara peribadi mahupun di khalayak umum. Semua orang seolah-olah mempunyai pandangan mengenainya, tetapi setakat ini, tiada sesiapa yang memiliki apa-apa pelan bagi langkah pemisahan.


Oleh itu, sekali lagi ia hanya banyak bercakap tanpa adanya tindakan; tanpa satu pun rancangan, tidak seperti di Scotland, di mana pada 18 September akan dijalankan sebuah referendum untuk menentukan sama ada penduduk di sana mahu kekal dalam United Kingdom atau berpisah, selepas bersatu 307 tahun dengan England.

Datuk Dr Marcus Mojigoh, Ahli Parlimen Putatan di Sabah yang sering diminta oleh pengundinya untuk memberi pendapat mengenai pemisahan dan isu-isu semasa yang lain, memberitahu semutharian bahawa beliau agak bingung dengan kebijaksanaan cakap-cakap pemisahan ini.

"Saya sukakan Sabah sebagai sebuah negara sendiri. Kita telah bersetuju untuk membentuk sebuah negara yang dikenali sebagai 'Malaysia' pada 16 September 1963. Secara realistiknya, apakah pilihan yang kita ada jika orang Semananjung menganiaya kita?

"Mampukan orang Sabah menguruskannya (dengan sendiri)? Adakah (bekerjasama) dengan Brunei? Indonesia? Bagaimana pula dengan Bangsa Moro (Mindanao), atau Filipina?" Ajunya, dengan mengatakan bahawa di kalangan mereka yang berulang kali meminta pandangan beliau, adalah mereka yang berpendidikan seperti bekas pemimpin kerajaan dan ahli perniagaan, di majlis-majlis perkahwinan, pengebumian dan acara-acara lain.

Pengundi-pengundinya di Putatan, sebuah kawasan separa bandar, terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dari apa yang dibacanya di media sosial dan apa yang diperdengarkan oleh komunikasi peribadi dengan orang-orang di sana, dia boleh menilai isu-isu tertentu yang menjadi punca kemarahan mereka.

Menurut Mojigoh, yang juga naib presiden dan bendahari Agung Upko, rakyat Sabah sering marah apabila pemimpin dari negeri-negeri Semenanjung membuat kenyataan yang menyakiti perasaan mereka.

Beliau memberi contoh seorang Menteri Besar yang, semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini, mempersoalkan mengapa rakyat Sabah perlu menuntut untuk menaikkan royalti petroleum daripada Petronas dan kerajaan pusat sedangkan beberapa negeri-negeri seperti Kedah berkongsi beras mereka dengan rakyat Sabah; bermaksud berkongsi bersama-sama.

Isu-isu lain yang amat mengecewakan rakyat Sabah, menurut Mojigoh, termasuklah kelewatan kerajaan persekutuan dalam mengumumkan laporan Suruhanjaya Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, kos yang tinggi di negeri ini, segala-galanya perlu dirujuk ke Putrajaya, projek-projek pembangunan yang diberikan kepada syarikat Semenanjung, isu 'Allah', dan pengislaman 'penduduk-penduduk luar bandar yang tidak bersalah '.

Datuk Lajim Haji Ukin, pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berkata beliau juga tidak menyokong pemisahan, tetapi mahukan ada lebih autonomi untuk Sabah di dalam Malaysia. Beliau berkata, Pakatan Rakyat percaya bahawa negara ini perlu mempertimbangkan autonomi Sabah dan hak-hak rakyat Sabah.

"Tema kami, 'Memperkasa Autonomi Sabah dalam Malaysia' untuk sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat negeri, adalah untuk menunjukkan pendirian Pakatan dan PKR, memandangkan spekulasi oleh NGO tertentu yang didakwa berusaha untuk membawa Sabah keluar dari negara ini," katanya kepada media di Kota Kinabalu pada 10 Sept.

Datuk Yong Teck Lee, bekas Ketua Menteri dan presiden Parti Maju Sabah (Sapp) Sabah, percaya bahawa cara terbaik untuk bertindak ke atas cakap-cakap pemisahan adalah untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati rakyat Sabah terhadap kegagalan kerajaan Malaysia untuk memenuhi semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Sabah, terutamanya penduduk pribumi, semakin terkejut dengan hakisan identiti sebagai pribumi Sabah," katanya dalam sebuah kenyataan.

"”Pemborneoan” perkhidmatan awam, kawalan autonomi ke atas imigresen, keselamatan, hak-hak tanah, minyak dan gas, agama, pengangguran, kemiskinan dan dasar kabotaj adalah beberapa isu utama yang lama ditangguhkan penyelesaiannya," katanya.

Mengulas mengenai seruan Datuk Salleh Said Keruak, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak polis mengambil tindakan terhadap individu yang menyatakan pandangan mengenai pemisahan dalam media sosial, Yong berkata, "Ramai mereka dari Sabah ini berani menggunakan nama penuh dan gambar mereka. Mereka menganggap diri mereka sebagai prajurit, bukannya pengkhianat."

Beliau berkata, Salleh juga salah faham mengenai konsep 'penentuan nasib sendiri' seperti yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa dan diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Konsep penentuan sendiri bermakna rakyat Sabah boleh membuat keputusan mengenai masa depan mereka sendiri.

"Penentuan sendiri tidak sama seperti pemisahan atau kebebasan sepenuhnya sebagai sebuah negara yang berdaulat," kata Yong.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad membalas kembali, menuduh mereka yang berkempen bagi penentuan nasib sendiri dan pemisahan sebagai "cuba mengelirukan rakyat dan membuatkan mereka benci kerajaan".

"Apa-apa langkah menarik diri dari Persekutuan Malaysia akan membawa lebih banyak masalah kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Ada negara jiran yang mahu menuntut negeri-negeri Borneo sebagai milik mereka sendiri.

"Saya mendengar sesetengah orang mahu mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. Apa yang akan berlaku kepada warganya? Kita tidak mahu menjadi seperti Bosnia," kata beliau pada 12 September.

Jawapan terakhir datang dari Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri. Semasa lawatannya ke Lahad Datu pada hari yang sama, beliau memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil "tindakan tegas" terhadap individu, kumpulan dan pengguna media sosial yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak untuk menarik diri dari Malaysia.

"Kami memandang berat perkara ini dan sesiapa yang didapati cuba menghasut Sabah dan Sarawak untuk menarik diri dari Malaysia, akan dihukum," katanya kepada pemberita.

Sikap kerajaan sebegini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah Malaysia telah menjadi sebuah negara polis di mana perbincangan terbuka mengenai isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak yang sah rakyat negeri-negeri dan negara, tidak lagi dibenarkan? 

Tranungkite

Tiada ulasan: