SPECIAL ADS

14 September 2014

Rakyat tidak rela ditipu atas nama GST


KUALA LUMPUR: Jaminan Kerajaan Barisan Nasional kononnya pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan melampau harga barang bakal menjadi satu mitos moden. 

Ia berikutan kegagalan kerajaan mengumumkan petrol dan diesel termasuk dalam senarai pengecualian GST.

Justeru, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat jangkaan awal bahawa GST menyebabkan kenaikan harga barang tidak mampu dikawal. 

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, rakyat adalah mangsa kerana bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mengetahui betapa perbelanjaan mereka akan berganda khususnya selepas April 2015.

Menurutnya, apabila komoditi petrol dan diesel dikenakan cukai GST, kenaikan hampir 15 sen seliter akan menjadi satu 'chain reaction' kenaikan harga barang yang merosakkan kuasa membeli rakyat Malaysia. 

Lebih malang, ujarnya ketika rakyat dikenakan GST, pelancong yang hadir ke negara ini dibenarkan 'refund' semula cukai GST yang dikenakan (setelah berbelanja hingga ke suatu angka) tetapi apakah akan ada mekanisma yang membolehkan pihak tertentu seperti penggunaan petrol/diesel kenderaan syarikat/perdagangan 'refund' GST.

"Ramai rakyat yang tidak tahu mengenai perkara ini, kerajaan wajar umum semua perkara GST," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pelaksanaan GST versi Malaysia dilihat penuh dengan helah tersembunyi tidak seperti perlaksanaan GST negara barat yang telus dan pulangan perkhidmatan kerajaan yang cemerlang. 

Contohnya, kata beliau kerajaan telah umum tiada GST untuk bayaran tol namun setiap kali pengisian semula kad pra-bayar Touch n Go akan dikenakan GST. 

Dalam masa sama, katanya kerajaan secara berperingkat memperkenal tol tanpa laluan tunai yang memaksa pengguna memiliki kad pra-bayar (Touch n Go).

Sehubungan itu, ujarnya SAMM juga menggesa pihak kerajaan mengumumkan senarai 85 barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai sebelum pembentangan bajet 2015. 

"Senarai tersebut harus menjadi pengetahuan dan perbincangan umum sebelum ia digazetkan," ujar beliau.

Bagi SAMM, katanya rakyat selama ini bisa sahaja membayar apa jua cukai yang berpatutan, tetapi harus tidak rela ditipu atas nama cukai GST. HD

Tiada ulasan: