SPECIAL ADS

27 September 2014

BN guna konservatif agama perkukuh kedudukan di Putrajaya

BN guna konservatif agama untuk membuat orang Melayu terus bergantung kepada Putrajaya, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari. Gambar fail The Malaysian Insider.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan konservatif agama untuk memastikan orang Melayu terus kekal bergantung kepada perlindungan Putrajaya, kata ahli Parlimen DAP hari ini.
"Tindakan pihak berkuasa terhadap ideologi sekular dan liberal adalah sebahagian daripada taktik Putrajaya untuk mempastikan BN terus kekal dominan," kata Zairil Khir Johari, ahli Parlimen Bukit Bendera.
"DAP amalkan sosial sekular, PKR amalkan sekular pragmatik manakala PAS laksanakan kedua-dua Islam dan juga sekular," katanya.
Zairil yang juga ketua pegawai eksekutif Institut Penang berkata, BN lebih cenderung kepada konservatif agama untuk mengekalkan ideologi monopolinya di kalangan rakyat.
Beliau berkata demikian dalam Simposium Islam, Demokrasi dan Sekularisme di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur hari ini.
“Kebebasan mutlak tidak membawa kepada ancaman atau masalah kepada Islam. Tetapi Putrajaya takut apa yang kebebasan sekular dan liberal akan bawa.
“Tanpa monopoli ideologi mereka terhadap rakyat, BN akan hilang kesahan politik dan selepas itu, kuasa mereka,” katanya.
Zairil berkata, sekularisme dan liberalisme sebenarnya falsafah yang boleh mengukuhkan Islam, tetapi sebaliknya BN memberikan aspek negatif terhadapnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata Islam terancam oleh humanisme, sekularisme, liberalisme dan hak asasi manusia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga memberi amaran kepada umat Islam dalam khutbah khas sempena Aidilfitri lalu mengenai konspirasi oleh “musuh Islam”.
“Keimanan kita terancam menerusi penyebaran ajaran sesat, anti-Hadis, pemikiran moden dan ideology seperti kapitalisme, materialisme, liberalisme, pluralisme, sekularisme, komunisme dan aspek negatif yang mempengaruhi umat Islam dengan muda,” kata Jakim.
“Bukan itu saja, kita juga gempar dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam.
“Kita ditekan budaya kebebasan berlebihan seperti festival seks, gay, lesbian, seks bebas dan seumpamanya,” kata Jakim.
Zairil berkata, Perjanjian Pangkor 1874 menyebabkan identiti Melayu berdepan kemungkinan hilang tanpa ada pihak yang mahu melindunginya.
“Ini menyebabkan kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pelindung kepada budaya Melayu-Islam,” katanya. TMI

Tiada ulasan: