Kajian Malaysian Insider dan Merdeka Center menunjukkan yang majoriti kaum Melayu di Selangor mahukan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat… 55 peratus dari pengundi Melayu beranggapan PAS wajar meninggalkan Pakatan dan 20 peratus pengundi Cina dan 19 peratus pengundi India bersetuju dengan pendirian pengundi Melayu itu.
Dimana kebenarannya kita tidak tahu, tetapi apa yang kita tahu aktiviti Pakatan Rakyat tidak akan sempurna jika tidak ada sokongan infrastruktur PAS seperti sokongan dari Unit Amal parti itu. PAS merupakan parti yang menghidupkan semua kegiatan Pakatan Rakyat sehinggakan jika PKR mengadakan kegiatan tanpa sokongan infrastruktur PAS jarang sekali program politik PKR itu mendapat kejayaan. Merdeka Center dan Malaysian Insider yang kebanyakkan pengundi Melayu di Selangor mahukan PAS keluar dari Pakatan Rakyat itu akan menguburkan PKR.
Kita ambil kajian Merdeka Center dengan Malaysian Insider setakat ini tanpa mengambil semua kajian mereka secara detail. Sesungguhnya PAS adalah parti yang tertua dalam Negara ini, dan telah melalui berbagai-bagai dugaan dan cabaran dalam usianya selama enam dekad itu. Semasa saya memulakan kegiatan dalam politik lebih dari tiga puluh tahun yang lalu, PAS dianggap oleh pimpinan umno dan rakyat yang ramai, hanya sebagai parti yang berkala kehadirannya dibanyak negeri dan kawasan dalam Negara ini.
PAS semasa itu hanya kuat sokongannya di negeri-negeri Pantai Timur dan di utara Semenanjung ini serta di beberapa tompok kawasan terutamanya di kawasan dan daerah yang banyak sawah padi sahaja. Tetapi setelah parti itu terus bersabar dan menghadapi berbagai cabaran dan ditambah pula ramai cerdik pandai selama itu menyedari tentang kelemahan yang ada di dalam UMNO dan BN, mereka mula memandang kepada PAS sebagai premis mereka untuk menyegarkan fikiran siasah dan politik mereka.
Justeru PAS telah beransur-ansur menjadi parti yang mudah diterima oleh gulungan terpelajar dan itulah sebabnya PAS sekarang ini sarat dengan ahli-ahli dan penyokong dari gulungan ini. Pendeknya PAS bertambah kekuatannya diatas kepercayaan rakyat ramai sebagai sebuah parti yang dalam masa yang sama ramai dikalangan anak-anak muda yang sudah tidak berminat lagi untuk menyertai UMNO kerana permainan politik yang keterlaluan dikalangan pimpinannya di setiap peringkat kepimpinannya.
Itu sebabnya kita tidak terkejut melihat dan mendapati mereka yang berkelulusan professional dan separa iktisad walaupun tidak menjelaskannya secara terbuka, mereka adalah gulungan baru dan muda yang lebih kecenderungan untuk menyokong PAS. Lain-lain perkataan PAS bertambah kekuatannya kerana parti itu berjaya memberikan keyakinan terhadap anak-anak muda yang masih belum tercemar pemikiran mereka tentang politik itu.
Di sebaliknya PKR itu wujud di atas perpecahan UMNO yang melibatkan pemecatan Timbalan Presidennya pada September tahun 1998 dahulu, yang di ketuai oleh Anwar sendiri dan memberikan ‘proxy’ kepimpinan parti itu kepada Isterinya Wan Azizah Ismail.
Pendeknya parti ini wujud bukan berlandaskan kepada kepercayaan dan perjuangan mereka tetapi hanya untuk bersama pemimpin mereka Anwar yang semasa pemecatan beliau sudah hampir berjaya menguasai sepenuhnya kerajaan dan UMNO dan hampir menundukkan Dr Mahathir yang masih berseronok dengan kuasa. Mendengar percubaan dikalangan ahli-ahli UMNO untuk merebut jawatan dari beliau merupakan satu jenayah bagi Dr Mahathir.
Dr Mahathir telah memerhatikan segala langkah dan tindakan Anwar dan apabiila sudah mula timbul keyakinan yang beliau akan ditumpaskan oleh Anwar, barulah beliau menggunakan isu kegiatan Anwar dalam isu seks luar tabii yang beliau telah lama mengetahuinya. Maka Mahathir telah menggunakan isu ini secara ‘expedient’ dan ia amat mudah diyakini oleh ahli-ahli UMNO dan rakyat terhadap Anwar. Akhirnya Anwar di pecat pada 2hb September 1998 dahulu dan bermula lah perpecahan dalam UMNO itu.
Hasilnya terbentuklah sebuah parti yang dinamakan PKR. PKR tidak mampu untuk maju tanpa mempunyai sekutu yang sedang bertambah kekuatannya, dan parti itu ialah PAS. Sementara mendapatkan sokongan dari musuh utamanya DAP, PAS lah yang telah memberikan kekuatan kepada PKR yang motif utamanya ialah untuk menjadikan Anwar yang terlepas peluang untuk menjadi Perdana Menteri itu untuk menyambung semula peluang untuk berkuasa di Putrajaya itu.
Oleh yang demikian jika ada pihak dari PKR atau DAP yang menggertak PAS akan hilang dimuka bumi ini jika keluar dari Pakatan itu adalah tidak berasas sekali. Apatah lagi dalam situasi perpecahan dalam PKR di setiap peringkat hasil dari pemilihan pimpinan baru-baru ini PKR tidak mungkin berada di tahap semasa PAS masih bersamanya. Malahan sebahagian dari ahli-ahli PKR yang kecewa di mana-mana di seluruh negara tidak akan memberikan sokongan kepada PAS jika PAS masih bersama parti yang mereka anggap sebagai parti yang tidak berpendirian itu.
Isu kemelut politik di Selangor sekarang lebih membuatkan PAS terhakis sokongannya jika ia masih bersama parti yang hanya mempunyai satu perjuangan iaitu untuk menjadikan seseorang yang terlepas peluang menjadi Perdana Menteri oleh tindakan ‘foolish’ beliau sendiri.
Bagi saya pandangan Merdeka Center itu adalah bertepatan dengan 'mood' rakyat Selangor terutamanya yang PAS boleh berdiri diatas kaki sendiri. Malahan parti itu akan lebih kuat jika tidak lagi bersama PKR kerana menyokong PKR itu adalah sama dengan menyokong Anwar Ibrahim yang telah menunjukkan belang beliau yang sebenarnya dalam isu perlantikan Menteri Besar baru sekarang ini.
Anwar telah membuktikan tuduhan musuh-musuh politiknya yang beliau hanya mahu memperjuangkan keuntungan peribadi beliau dan keluarga beliau sahaja itu adalah benar. Rakyat telah jelas dibuktikan yang ‘nepotism’ ini lebih hebat lagi dalam PKR itu dari UMNO yang telah beliau (Anwar) tuduh berluas-luasa dalam UMNO. Anwar terlalu terkeliur dengan jawatan Perdana Menteri negara ini yang boleh memenjarakan dan mengeluarkan seseorang dari penjara itu.
PAS wajar sedar, yang parti itu bukannya parti untuk kepentingan seseorang individu, tetapi ia adalah parti yang memperjuangkan keadilan dan berlandaskan kepada kehendak hakikat dan syariat Islam. Parti Islam ini tidak boleh dicemari oleh unsur lain dari unsur yang di tuntut Tuhan dan Agamanya.
Jika pun PAS telah melakukan kesilapan sejak beberapa tahun dahulu, kita anggap sahaja sebagai seorang yang sedang meniiti permatang sawah. Jika tergelincir kedalam sawah yang berlumpur itu cepat-cepat naik ke permatang itu dan teruskan perjalanan sehingga sampai ke penghujung lopak-lopak sawah itu.
ASPAN ALIAS
http://aspanaliasnet.blogspot.com
ASPAN ALIAS
http://aspanaliasnet.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan