SPECIAL ADS

4 September 2014

Teguran Sultan Selangor paksa PKR ‘ambil langkah sesuai’

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan parti akan bertindak sewajarnya bagi berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk jika calon menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditolak oleh Sultan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 September, 2014.

PKR akan mengambil "langkah-langkah yang perlu dan sesuai" dalam tempoh 48 jam akan datang berikutan teguran daripada pihak Istana Selangor kerana hanya mencalonkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang enggan menjawab sama ada parti berbilang kaum itu akan menghantar lebih daripada dua nama seperti yang diminta Sultan Selangor mengakui PKR menerima surat daripada istana semalam.

"Kami akan mengambil langkah-langkah yang perlu dan sesuai. Kami akan bertindak sewajarnya dalam tempoh 48 jam akan datang," katanya selepas mesyuarat biro politik PKR itu di ibu pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Malam tadi, PKR terpaksa menarik balik kenyataannya, sebaik sahaja dikeluarkan kepada media, yang mengesahkan mereka menerima jawapan dari istana mengenai pelantikan menteri besar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menetapkan setiap satu daripada ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih daripada dua nama.

PAS sekutu PKR mengemukakan tiga nama, dua daripada PKR dan seorang daripada PAS.

Difahamkan calon-calonnya adalah Dr Wan Azizah, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad.

Saifuddin berkata mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada perkembangan terkini berhubung kemelut jawatan menteri besar yang sudah berlarutan selama lebih sebulan.

Beliau berkata, antara senario yang dibincangkan ialah mengenai langkah PAS menghantar lebih daripada dua nama kepada istana dan juga langkah seterusnya jika Dr Wan Azizah ditolak Sultan.

Perebutan sengit di antara penyandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan PR berakhir dengan pemecatannya oleh PKR.

Khalid kemudian memecat lima exco DAP dan PKR, manakala seorang lagi meletakkan jawatan.

Beliau hanya mengekalkan empat ahli exco PAS yang membolehkan kerajaan negeri terus berfungsi.

Bagaimanapun pada 17 Ogos, PAS mengambil keputusan menuruti keputusan DAP dan PKR serta menyokong pelantikan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar baharu.

Walaupun Khalid menyerahan surat peletakkan jawatan, Sultan Selangor menangguhkan peletakan jawatannya sehingga menteri besar baharu dilantik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi PAS, DAP dan PKR tempoh sehingga semalam untuk menghantar lebih daripada dua nama bagi jawatan menteri besar. TMI

Tiada ulasan: