Pakatan Rakyat (PR) bukan entiti tunggal, disebabkan itu ia perlu menghantar nama calon menteri besar lebih daripada satu kepada sultan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata dirinya boleh menghantar satu nama saja kerana Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan parti yang berdaftar dan tidak ada siapa pernah membantah keputusannya.
"Saya pilih (calon menteri besar) berdasarkan sokongan popular dan tiada siapa yang tidak puas hati, maka tidak perlu saya bagi lebih daripada satu nama," katanya mengulas tentang pertikaian jumlah nama yang perlu dihantar ke istana mengikut konvensyen.
Dalam krisis menteri besar Selangor yang masih belum selesai sekarang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan menghantar satu nama dipraktikkan sejak zaman pemerintahan BN pada 1957.
Dr Mahathir juga berkata sebelum ini, menjadi amalan biasa semasa beliau mentadbir negara, dengan mengemukakan hanya satu nama kepada Sultan.
Semalam, istana dalam kenyataannya menegur PKR buat kali kedua kerana mempertikaikan titah Sultan supaya mengemukakan lebih satu nama calon bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dr Mahathir berkata, pembangkang terpaksa menghantar lebih daripada satu nama akibat percanggahan pendapat sesama mereka sendiri di dalam Pakatan Rakyat.
"Ia (Pakatan Rakyat) bukan parti tunggal. Mereka ini ialah tiga pihak yang tidak bersetuju antara satu sama lain. Jadi, perlu diberi sedikit ruang kepada Sultan untuk memilih antara calon yang ada.
"Dalam kes saya, tiada siapa yang tidak berpuas hati dengan nama yang dicadangkan, semua pihak bersetuju dengan satu nama itu. Sultan terimalah," katanya pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Katanya, kenyataan Ketua Umum PKR itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat dan menerangkan apa yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan BN.
"Pemilihan calon menteri besar dipersembahkan kepada Sultan Selangor oleh perdana menteri melalui Majlis Menghadap Sultan.
"Dalam majlis itu perdana menteri akan memberikan beberapa nama calon yang difikirkan layak untuk mendapat perkenan Sultan.
"Daripada senarai nama-nama calon tersebut, Sultan Selangor akan memilih hanya seorang calon untuk dilantik sebagai menteri besar," kata Munir. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan