SAYA ramalkan PM DS Najib Tun Razak bakal tumbang akibat 1MDB!
Namun sukar hendak diramal waktunya secara persis. Lebih selamat kalau saya katakan selewat-lewatnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan seawal-awalnya pada Perhimpunan Agung Umno akan datang.
Sengaja saya ambil ‘liberty’ atau ‘kebebasan’ untuk membuat congakan ini secara ‘intuitif’. Ia pendekatan ‘shock therapy’ bagi rakyat yang masih lena. Akan tetapi ia punya jalan pikiran atau hujahnya, bukan intuitif atau tembak begitu sahaja.
Saudara boleh sahaja tidak bersetuju. Bagi yang percaya ‘nujum’ saya ini, rumit buat saya. Saya bakal dituntut untuk ‘tunaikan’ semacam ‘janji’ ini, walaupun saya tidak pernah berjanji. Sekadar ramalan.
Saya lebih senangi kelompok ketiga yang tunggu dan lihat. Mungkin sahaja kelompok ini akan berubah sikap setelah membaca penghujahan nanti.
Paling penting PM Najib sendiri mungkin terkesan. Nah, dengan itu mungkin sahaja beliau mahu menyelamat dirinya. Maka ramalan Najib akan tumbang ini, adalah penyebab penyelamatnya. Satu paradoks juga. Itu pun kalau dia segera bertindak. Mari kita mulakan. Penulisan ringkas ini hanya kemaskini naratif yang panjang dan berliku-liku.
Serangan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan mutakhir ini atas 1-MDB telah dilipatgandakan. Di samping Ketua Pembangkang, terkedepan ialah YB Petaling Jaya Utara dan kini dibantu YB Pandan, MP penggal pertama. Penulis sendiri tidak lagi dapat bersuara menyokong kawan-kawannya, sekadar menulis dalam media cetak dan portal. Najib gusar juga.
Sebaliknya, Najib boleh persetankan pelbagai kritikan tajam blogger popular pro-Umno. Akan tetapi, ketika dua tokoh Tun, juga mantan Menteri Kewangan, turut bersuara perihal 1MDB, maka ia bakal mengundang amarah rakyat bukan kepalang dan isyarat ‘mala petaka’ buat Najib.
Tambahan, setelah beberapa siri penulisan sebuah ‘Bisnes dan Pelaburan’ terkemuka di tanah air iaitu ‘The Edge’, maka Najib Tun Razak terus sengkak dan terjerut juga sudahnya.
Dengan rentetan ini meramalkan ‘karier politik’ bakal berakhir, tidak memerlukan seorang ‘pundit politik’. Pun begitu, ada yang kata saya keterlaluan.
1-MDB adalah sebuah ‘dana kekayaan negara’ atau ‘sovereign wealth fund’ kedua selepas Khazanah Nasional Berhad. Kedua-dua dimilikki 100% oleh Kementerian Kewangan. Misi korporat kedua-dua adalah ‘rakan strategik kerajaan bagi membantu menjana ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan inklusif’. Persamaan dua dana ini terhenti di situ.
Dari segi tadbir-urus kewangan dan prestasinya ia sangat berbeza. 1MDB adalah sangat ‘opaque’ dan ‘tidak telus’, berbeza dengan Khazanah. Penulis pernah bertanya kepada pihak Khazanah mengapa berbeza sekali tadbir-urus kedua dana ini? ‘No komen’ kata mereka. Pelik tapi benar.
Sejak penubuhan penuh kontroversi dengan cubaan kaitan dana Wang Ihsan Terengganu (TIA), IMDB tidak putus-putus mengundang kontroversi pada setiap pinjaman, pelaburan dan perolehan.
Nah, dengan tidak mengulangi apa yang pernah juga saya tulis (rujuk ‘1MDB: Rakyat tuntut ketelusan pengurusan dana rakyat’ - Harakahdaily dan ‘All 1MDB has to show is mountain of debt? - Malaysiakini) pertikaian kali ini tertumpu sekitar isu ‘Surat Sokongan’ sekali gus meletakkan risiko kepada kewangan negara.
Sedikit kemas kini, 1-MDB sebenarnya sudah empat tahun menanggung kerugian kalau tidak kerana ‘penilaian semula aset’ yang memberi ‘keuntungan atas kertas’ (paper profits). Dengan tidak ada ‘revaluation’ dana pemegang-saham atau ‘shareholders funds’ pada hakikatnya ialah negatif RM4.7 bilion.
Kerana hutang terlalu besar buat tahun kewangan 2014, 1-MDB gagal menunjukkan keuntungan walaupun kaedah ‘penilaian semula aset’ dibuat juga. ‘Revaluation’ aset dibuat sehingga ke paras RM896.8 bilion, tetap 1-MDB untuk tahun kewangan 2014 (FY2014) menanggung kerugian sebanyak RM665.36 bilion!
Masalah besar dengan ‘keuntungan atas kertas’ atau ‘paper profits’ dengan revaluation ini ialah ia tidak menghasilkan ‘cash-flow’ atau ‘pendapatan’. Penganalisis menghitung bahawa kadar pulangan pelaburannya masih tidak mencukupi untuk membayar kos pinjamannya.
Anggaran kos pinjaman (kadar faedah) 1-MDB bukan serendah 3.8% kalau setaraf dengan MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia), tetapi lebih tinggi antara 5.73% ke 7.61% tergantung kepada apa yang telah dilakukan secara ‘kreatif’ oleh penasihat kewangan 1-MDB. Ini parah buat 1-MDB! Mengapa terlalu jauh bezanya?
Nah, dalam kemelut mutakhir ini, PM Najib hanya bersedia mengakui bahawa kerajaannya hanya menjamin pinjaman sukuk oleh 1-MDB bagi jumlah RM5.8 bilion (USD 1.75 bilion) ketika hutangnya berjumlah RM36.25 bilion. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan di Parlimen baru-baru ini.
Pertikaian menjadi lebih sengit ketika Najib dan disokong oleh Ahmad Maslan pada November 6 lalu di Parlimen, menafikan bahawa kerajaan tidak menjamin pinjaman selain RM5.8 bilion tadi.
YB PJ Utara bersama YB Pandan seperti didakwa oleh Tun M dan kini telah juga didedahkan oleh majalah The Edge, mempertikaikan akan penafian yang dibuat oleh Pentadbiran Najib.
Jelasnya dari Surat Sokongan (Letter of Support) bertarikh 14 Mac 2013, yang dikeluarkan untuk 1-MDB sebagai penerbit (issuer), meskipun ia bukan satu Surat Jaminan, tetapi tertera secara jelas dalam para 3(b)..seandainya 1-MDB gagal untuk membayar atas apa jua sebab… maka kerajaan Malaysia akan masuk (step-in) untuk menyuntik (inject) sejumlah dana (the necessary capital) bagi melunaskan tanggungjawab penerbit (issuer) yakni 1-MDB kepada mereka yang memberi Hutang (Debt) tersebut.
Tegasnya, kalau pun Surat Jaminan (Guarantee Letter) tidak diberikan kepada 1-MDB dalam pinjaman kali ini yakni USD3bilion atau RM9.6 bilion oleh kerajaan Najib, jelasnya Surat Sokongan membawa implikasi yang sama.
Seandainya 1-MDB gagal membayar ansuran hutang mereka, maka kerajaan Persekutuan akan terpaksa campur-tangan serta menyuntik dana untuk mereka membayar hutang terebut. Ini pastinya adalah satu proses ‘Bailout’ atau ‘Menyelamat’ 1-MDB. Hutang 1-MDB bakal menelan berbilion ringgit wang rakyat!
Ya, terlalu banyak yang menjadi tanda-tanya akan perihal urus-tadbir 1MDB ini termasuk bayaran yuran terlalu mahal kepada pihak Goldman Sachs dan pelaburan berisiko tinggi di Cayman Island yang kini mula di’repratriate’ atau dikembalikan meskipun didakwa 1-MDB membuat keuntungan. Bagaimana panel pelaburan boleh mengizinkan dananya dibuat dalam portfolio seperti ini masih menjadi satu tandatnya!
Sementara rakyat diperah dan dibeban bagi membantu mengatasi defisit fiskal dan hutang kerajaan, Najib mengizinkan pelaburan 1-MDB dengan berbillion ringgit di luar negara secara culas atau ‘reckless’. Bukan sahaja itu, ia mengundang risiko hutang tak berbayar atau ‘corporate debt default’ ke paras mencetuskan ‘Tipping Point’ ke atas kewangan Kerajaan Persekutuan.
Seandainya Najib gagal bertindak maka beliau bakal dihukum rakyat dalam PRU ke-14. Lebih malang dan menggusarkan lagi buat Najib, war-lords dan mantan-mantan Tun dalam Umno sendiri akan mengambil langkah ‘intervensi’ menyelamatkan parti mereka.
Dari segi itu, nasib Najib akan sama seperti ‘boss’ yang disingkirkannya.
Dr. Zulkefly Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan