SPECIAL ADS

1 November 2014

Sokongan terhadap PM menurun

Najib Tun Razak - Foto Bernama

BANGI - Sokongan pengundi Malaysia terhadap cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan tugasnya menurun kepada 48 peratus bagi Oktober berbanding 54 peratus pada akhir Ogos lalu.
Tinjauan terbaharu oleh pertubuhan penyelidikan bebas Merdeka Centre itu dijalankan antara 11 dan 26 Oktober lalu.

Menurut Merdeka Centre, penurunan sokongan itu dipercayai akibat pengurangan subsidi bahan api pada 2 Oktober.

Selain itu, 49 peratus pengundi turut berpendapat Malaysia kini menuju ke arah yang salah, berbanding 41 peratus pengundi yang merasakan negara ini berada pada landasan yang betul.

"Sentimen negatif ini akibat kebimbangan mengenai kos hidup meningkat, keadaan ekonomi secara umum  dan kebimbangan mengenai sentimen perkauman dan penyampaian perkhidmatan awam.

"Mereka yang merasakan negara ini berada pada landasan positif pula mendasarkan pandangan mereka terhadap perasaan aman dan selamat, pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang jelas dan bantuan kebajikan berterusan daripada kerajaan," menurut Merdeka Centre dalam satu kenyataan.

Tinjauan turut menunjukkan penurunan kepuasan orang ramai terhadap kerajaan, dengan hanya 38 peratus berkata mereka gembira dengan kerajaan, berbanding 41 peratus pada Ogos 2014.

Menurut Merdeka Centre, ketidakpuasan hati rakyat juga berkemungkinan timbul daripada kebimbangan mengenai peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga minyak serta harga komoditi yang semakin tertekan di kawasan luar bandar.

Tinjauan itu juga menyaksikan peningkatan besar dalam kebimbangan pengundi terhadap ekonomi negara, iaitu naik kepada 71 peratus bagi Oktober berbanding 54 peratus pada Ogos lalu.

Selain itu, hanya 38 peratus rakyat Malaysia yakin dengan sistem kehakiman negara manakala 48 peratus tidak yakin dengan sistem itu, majoritinya pengundi muda berumur bawah 40 tahun.

Tinjauan Merdeka Centre itu melibatkan 1,005 pengundi berdaftar terdiri daripada 61 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan sembilan peratus India. SH

Tiada ulasan: