SPECIAL ADS

25 November 2014

KDN nafi laporan Al Jazeera pelarian dibogel

Timbalan menterinya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika sesi soal jawab di Parlimen sempena usul khas berhubung isu itu berkata, pelarian tersebut hanya menjalani proses pemeriksaan badan dan dibekalkan kain sarung atau tuala bagi tujuan itu.
"Setiap mereka yang dibawa ke bilik tahanan imigresen perlu melalui pemeriksaan badan, wanita diperiksa oleh wanita, lelaki diperiksa oleh lelaki.
"Kalau diperlukan mereka membuka seluar atau pakaian, pelarian ini akan diberikan kain sarung atau tuala untuk memudahkan pemeriksaan," kata Wan Junaidi.
"Semua kehormatan diri bagi tiap-tiap mereka yang diperiksa diberi perhatian."
Ahli Parlimen Santubong itu bagaimanapun tidak menjawab kesemua empat isu yang dibangkit dalam usul tersebut dengan jelas.
Berhubung isu kanak-kanak pelarian dikurung, Wan Junaidi berkata, ia bagi membolehkan mereka bersama dengan ibu bapa masing-masing bagi mengelakkan gangguan emosi dan psikologi kepada anak dan ibu bapa tersebut.
"Kanak-kanak terpaksa ikut ibu mereka yang ditahan kerana ibunya disyaki terlibat jenayah.
"Ia supaya kanak-kanak berkenaan menerima perhatian ibu bapa supaya mengelakkan kanak-kanak terbabit terabai dan teraniaya.
"Jika dipisahkan, ia akan beri kesan psikologi, gangguan emosi kepada kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata, hanya kanak-kanak berusia di bawah umur tiga tahun dibenarkan bersama ibu atau bapa mereka di dalam pusat tahanan imigresen.
Wan Junaidi (gambar, kanan), bagaimana pun, tidak mengulas mengenai dakwaan rasuah dalam pusat tahanan imigresen, sebaliknya berkata pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang aduan salah laku rasuah.

"Jika terbukti, mereka ini boleh dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, tetapi sehingga kini tiada sebarang aduan," katanya.
Beliau turut berkata, kapasiti depot tahanan imigresen di negara ini masih belum penuh, sebaliknya hanya 63% tahanan daripada kapasiti maksimum iaitu 14,000 orang, digunakan.
"Kesesakan hanya akan berlaku apabila imigresen menjalankan operasi bersepadu membasmi pendatang asing tanpa izin," katanya.
Wan Junaidi turut berkata, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pelarian juga kerap berjumpa pelarian di depot tahanan untuk melihat keadaan mereka.
"Wakil UNHCR kerap berjumpa wakil kementerian dan pelarian.
"Pihak UNHCR ini akan menapis, sama ada mereka pelarian perang atau pencari rezeki, selepas itu baru kita keluarkan kad," katanya.
Beliau, bagaimanapun, tidak menjelaskan sama ada Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang dilaporkan stesen televisyen tersebut.
"Kita tidak ambil tindakan kepada surat khabar tempatan, inikan pula media antarabangsa.
"Kita melihat halangan dan rintangan untuk menangani apabila media luar negara mengenakan kita amat halus caranya," kata Wan Junaidi ketika ditanya sama ada Putrajaya akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan Al Jazeera itu tidak berasas.
Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng sebelum ini membawa usul ke Dewan Rakyat bagi membahaskan usul berhubung perkara itu di Parlimen.
Usul itu diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri menjawab segala dakwaan berkenaan.
"Menteri tidak jawab isu ini. Sehubungan itu, kami mahu isu ini dibahaskan di Parlimen kerana ia bakal menjejaskan reputasi Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) tahun hadapan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Lim juga menggesa Putrajaya menubuhkan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) bagi menyiasat laporan berkenaan memandangkan ia mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Al Jazeera minggu lalu melaporkan keadaan pelarian yang dizalimi dan dieksploitasi di pusat tahanan di Malaysia, serta kegiatan rasuah kakitangan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR).
Dalam program 101 East, penyampai kanan dan wartawan Steve Chao menyamar sebagai seorang paderi bagi mendapatkan akses ke dalam pusat tahanan "terkenal" di mana pelarian ditangkap ditempatkan.
Menurut UNHCR, terdapat 150,000 pelarian yang melarikan diri dari negara asal ke Malaysia, dengan harapan dipindahkan ke negara ketiga.
Bagaimanapun, Malaysia, yang baru-baru ini dipilih sebagai salah satu anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, enggan menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 bagi mengiktiraf status pelarian.
Oleh itu, pelarian di Malaysia tidak dibenarkan bekerja atau bersekolah, mendorong mereka menubuhkan pusat komuniti sendiri bagi pendidikan anak-anak mereka.
Mereka juga boleh ditahan bila-bila masa dan akan ditempatkan di dalam pusat tahanan yang penuh sesak di mana Chao mendapati keadaannya sangat daif.
Laporan itu menunjukkan pertemuan Chao dengan berpuluh-puluh pelarian di pusat itu, ramai dirantai dan digari sementara ada yang tidak makan beberapa hari.
Beliau juga menemui wanita yang ditahan hanya beberapa jam selepas bersalin dan juga kanak-kanak, yang merupakan satu pelanggaran Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak. TMI

Tiada ulasan: