Umno Selangor perlu berubah dengan melakukan pembubaran dan penyusunan semula terutama dengan bersedia menerima ramai ahli baru, termasuk yang berbakat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya hari ini.
Kata bekas perdana menteri itu, pemimpin Umno Selangor mesti perlu terima hakikat yang mereka perlu berundur selepas mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.
"Pemimpin Umno biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihan raya.
"Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan Umno, tetapi memperkuatkan kedudukan mereka," katanya dalam penulisannya yang bertajuk "Umno Selangor Perlu Berubah" hari ini.
Bekas presiden Umno itu juga berkata, ahli parti baru perlu ditapis badan yang terdiri dari veteran Umno dan dari bahagian lain.
"Tapisan diperlukan kerana ada makhluk perosak yang ingin peralat Umno untuk agenda peribadi mereka," katanya.
Dr Mahathir juga mahu Umno Selangor menumpukan kepada generasi muda yang tergolong dalam kumpulan Gen-Y memandangkan pada PRU14, 2.5 juta anak muda akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
"Gen-Y tidak berminat dengan Umno. Mereka, terutama yang terpelajar di Barat, sudah menerap budaya dan nilai-nilai hidup Barat.
"Bagi ramai dari mereka, penghargaan terhadap parti dan pemerintah yang memberi peluang kepada mereka mendapat pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka, tidak ada."
Katanya, generasi tersebut akan menganggap sebagai 'mengungkit' sekiranya jasa Umno disebut atau diperingatkan kepada mereka.
Ini kerana, kata Dr Mahathir, golongan ini berpendapat semua parti pemerintah yang berkuasa dan membentuk kerajaan akan membuat perkara yang sama.
"Pandangan cetek ini disebabkan mereka tidak membuat bandingan antara kerajaan Malaysia pimpinan Umno dengan kerajaan negara lain.
"Jika bandingan dibuat, sudah tentu mereka akan lihat negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tidak pun dapat dimajukan, jauh sekali daripada memberi pelajaran, biasiswa dan bantuan lain supaya rakyat mereka dapat menikmati taraf hidup seperti rakyat Malaysia," katanya.
Dr Mahathir juga menggesa Umno Selangor berusaha menarik pemuda Melayu menyertai parti itu dengan mendekatkan diri kepada mereka, bukan sahaja yang bukan ahli, malah mereka yang menentang parti.
Bagi mencapai tujuan ini, beliau menasihatkan kepimpinan Umno supaya mengambil tahu sejarah Umno dengan mendalam.
"Pemimpin yang mampu menjelas kedudukan orang Melayu dahulu dan sekarang tidak ramai. Mereka juga perlu diberi kursus," katanya.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga mahu Umno mengikis imejnya sebagai parti rasuah dengan menasihatkan pemimpinnya supaya hidup dengan lebih bersederhana.
"Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli Umno. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung."
Dr Mahathir berkata terdapat banyak lagi perubahan yang perlu dibuat Umno Selangor, tetapi jika mereka mengambil panduan dari nasihatnya setakat ini, beliau percaya sokongan rakyat terhadap Umno akan lebih kuat. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan