SPECIAL ADS

16 November 2014

Belgium tinjau Malaysia bagi operasi pembuatan, R&D dan pengedaran

Delegasi ekonomi Belgium dengan 300 anggota, diketuai Puteri Astrid yang melawat di Malaysia bermula 22 hingga 26 November lepas, bersedia meneroka peluang mewujudkan operasi dalam pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengedaran di Malaysia.
Jeroen Direkx, Pengarah Urusan (Derivatif) Oleon NV, antara syarikat utama Belgium yang menyertai delegasi itu, memberitahu Bernama syarikat beliau sudah lama beroperasi di Malaysia dan yakin dengan peluang yang ada.
Syarikatnya menukarkan minyak sayur-sayuran kepada asid lelemak serta eter. Segmen pasaran terbesarnya ialah sektor minyak pelincir.
"Kami juga aktif dalam bahan kimia medan minyak, sudah bekerjasama dengan  Petronas. Oleon juga aktif dalam aplikasi lain seperti industri kecantikan, aditif makanan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata Oleon kini berusaha untuk meningkatkan kehadirannya di Malaysia ke tahap lebih tinggi dengan menubuhkan pusat inovatif global, pusat R&D - dengan pelaburan berjumlah 4.5 juta hingga 5 juta Euro.
"Kami berminat untuk mendirikan pusat R&D kami di Malaysia yang cekap dari segi kos. Operasi Malaysia akan membantu mengurangkan kos operasi kami. Asia merupakan pasaran yang pantas berkembang terutamanya dalam sektor aplikasi.
"Industri kosmetik, sebagai contoh, berbeza antara negara, bergantung kepada citarasa pengguna. Banyak pelanggan Asia kami boleh mendapatkan khidmat kami dari operasi kami di Malaysia dan Asean," kata Direkx yang mengetuai syarikat di Malaysia.  
Pusat R&D yang dicadangkan itu akan berfungsi sebagai 'satelit' kepada Pusat Inovasi Novance syarikat di Perancis, yang memainkan peranan penting bagi Sofiprotel, yang memiliki Oleon NV.
Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Frankfurt, yang juga bertanggungjawab terhadap Belgium sebagai sebahagian bidang kuasanya, aktif berusaha membawa Oleon mendirikan pusat R&D di Malaysia.
Sebuah lagi syarikat dalam delegasi berkenaan ialah Lhoist, yang diberikan lesen pembuatan oleh Malaysia pada 2007 untuk mengeluarkan kapur tohor kalsium karbonat dan kapur hidrat.
Lhoist juga diberi kelulusan pada 2013 untuk menubuhkan makmal berteknologi tinggi, pusat pembangunan aplikasi kapur serantau di Perak. Kilang pembersihan sisa toksid turut dirancang di Lembah Klang.
Belgium juga meninjau untuk menjalin kerjasama dalam industri makanan halal dengan mencari syarikat-syarikat Malaysia bagi perkongsian yang memainkan peranan penting dalam bidang ini.
Berikutan jumlah penduduk Islamnya yang bertambah, Belgium membangunkan industri halal bagi memenuhi keperluan berkenaan. Syarikat negara itu dilaporkan berminat untuk bekerjasama dengan Halal Development Corporation bagi tujuan itu.
Selain wakil korporat, delegasi itu juga termasuk Didier Reynders, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Luar dan Hal Ehwal Eropah serta Pieter De Crem, Setiausaha Negara Belgium bagi Perdagangan Luar.
Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Zainudin Yahya, menyifatkan lawatan berkenaan sebagai inisiatif yang baik oleh kerajaan Belgium.
"Kami gembira delegasi Belgium memilih Malaysia bagi misi ekonominya," kata beliau.
"Belgium dan Malaysia bakal mendapat faedah daripada lawatan ini. Kedua-dua negara boleh merebut peluang yang ada yang boleh membawa manfaat kedua-dua pihak," kata Zainudin.
Beliau berkata Malaysia boleh mendapat faedah daripada kekuatan Belgium dalam bidang seperti sains, teknologi dan lain-lain lagi. TMI

Tiada ulasan: