SPECIAL ADS

17 November 2014

1BestariNet : Terdapat jurang bandar-luar bandar

Projek 1BestariNet bukan sahaja gagal mencapai objektif mengurangkan masalah perbezaan antara 10,000 sekolah bandar dengan luar bandar, malah meluaskan lagi jurang perbezaan apabila sekolah luar bandar semakin jauh ketinggalan mengikuti arus perkembangan teknologi maklumat (IT) berbanding sekolah di bandar, kata Zairil Khir Johari (gambar).
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, sekolah luar bandar mendapat sokongan penuh dalam memanfaatkan pembelajaran kelas secara siber, tidak seperti sekolah di bandar.
Zairil berkata, dakwaan itu terbukti apabila Laporan Ketua Audit Negara 2013 menunjukkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Tet di Ipoh, Perak menunjukkan penggunaan platform Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE) tertinggi.
"Data daripada 1 Januari sehingga 31 Mac 2014 menunjukkan sebanyak 20.6% murid dan 41.7% guru menggunakan sistem VLE setiap hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, laporan audit mendapati jumlah itu disebabkan guru SJKC Sam Tet mendapat pendedahan sepenuhnya mengenai sistem itu, serta mendapat sokongan daripada pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan menyediakan projektor di setiap kelas, mengupah juruteknik khas komputer untuk sekolah itu, serta menanggung sendiri kos membaiki kelengkapan.
Tambahan, majoriti murid sekolah itu juga ada komputer dan akses internet sendiri di rumah, membantu memudahkan lagi penggunaan VLE di luar waktu sekolah.
"SKJC Sam Tet merupakan contoh terbaik. Bagi menjayakan VLE, perlu ada infrastruktur teknologi yang kukuh, guru yang cemerlang dan terlatih, serta sokongan penuh daripada semua pihak," katanya.
Malangnya menurut wakil rakyat DAP itu, perkara itu mustahil dilaksanakan di 10,000 sekolah yang terlibat dalam projek 1BestariNet itu, melibatkan 500,000 guru dan 5.5 juta murid, malah tidak dapat dilaksanakan di sekolah luar bandar yang serba kekurangan.
"Sekolah luar bandar bukan sahaja kekurangan peralatan seperti komputer riba, projektor dan makmal komputer, mereka juga mendapat liputan internet yang teruk.
"Pada masa sama, tak mungkin guru mereka terlatih sepenuhnya dengan VLE manakala murid sekolah juga tidak ramai yang mempunyai komputer dan akses internet di rumah," kata Zairil.
Projek 1BestariNet dilancarkan Kementerian Pendidikan pada Disember 2011, melibatkan usaha penyediaan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di semua sekolah seluruh negara melalui sistem e-pembelajaran VLE, dikatakan sebagai alat teknologi yang mampu menghubungkan jarak antara bandar dengan luar bandar.
Rasionalnya, menurutnya, ialah dengan menyediakan perhubungan internet kepada sekolah luar bandar dan akses "bilik darjah siber" melalui VLE, pelajar luar bandar tidak lagi ketinggalan dari segi geografi dan mampu mendapatkan maklumat tanpa batas dalam dunia digital.
Namun, laporan Ketua Audit Negara 2013 siri ke 3 mendedahkan, Projek 1BestariNet tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan VLE kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.
Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.
Kaji selidik mendapati 89% daripada 46 buah sekolah dan lebih 70% daripada 491 maklum balas mendedahkan yang liputan 1BestariNet tidak sampai ke seluruh kawasan sekolah.
Projek tersebut sepatutnya menyediakan infrastruktur bagi 10,000 buah sekolah di negara ini dalam tempoh 30 bulan bermula 13 Disember 2011.
Namun, laporan audit mendedahkan projek yang sepatutnya disiapkan pada Jun lalu gagal menyambungkan akses Internet kepada 4,176 pengguna sasaran dan terlewat selama 439 hari tanpa dikenakan penalti.
"Cadangan itu dari segi teorinya kedengaran hebat, malangnya secara realiti agak berbeza. Pendekatan itu hanya menambahkan lagi jurang antara bandar dengan luar bandar," kata Zairil. TMI

Tiada ulasan: