Ini adalah pendapat peguam Gobind Singh Deo yang berkata sekiranya mahkamah membuat keputusan bahawa Akta Hasutan itu tidak sah, maka keputusan Najib untuk mengekalkan Akta itu tidak lagi relevan.
"Pengumuman Najib itu tidak akan ada apa-apa kesan jika mahkamah membuat keputusan bahawa Akta Hasutan itu tidak sah," kata Gobind ketika ditemui Astro AWANI.
Peguam Yusmadi Yusoff berkata, walaupun mahkamah bakal menentukan sama ada Akta Hasutan 1948 sah atau tidak, keputusan itu tidak akan menghalang Najib untuk kembali ke Parlimen untuk mendapatkan 'mandat' baru, dengan membuat versi baru Akta.
Yusmadi berkata sekiranya mahkamah membuat keputusan bahawa Akta Hasutan itu tidak sah, Najib mungkin akan membuat 'Akta Hasutan 2.0'.
"Perlu diingati bahawa mahkamah hanya akan membuat keputusan mengenai Akta Hasutan 1948. Najib masih boleh membuat versi baru Akta itu," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO berkata, pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.
Beliau, dalam pada itu, turut mengarahkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menguatkuasakan akta itu dengan tegas selepas ia diluluskan kelak.
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Persekutuan bakal menentukan keperlembagaan cabaran Akta Hasutan 1948 yang dibuat pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Ini ekoran Azmi memfailkan permohonan itu, mengatakan Seksyen 4 tidak mengikut perlembagaan dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara pada 17 September.
Mengikut Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu undang-undang diluluskan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sah dan boleh dikuatkuasakan atau tidak.
Persoalan yang akan ditentukan mahkamah tertinggi itu nanti ialah sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan bertentangan dengan Perkara 10 yang menjamin kebebasan berucap dan bersuara dan bertentangan dengan Perkara 4 berhubung keluhuran Perlembagaan.
Mahkamah Persekutuan juga akan menentukan sama ada Akta Hasutan sah atau tidak dan diberi kuasa oleh Parlimen. AA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan