SPECIAL ADS

16 November 2014

Umno : Penyokong tradisi semakin mengecil

Umno dilihat tidak akan kekal lama selepas pilihan raya akan datang jika terus mengharapkan sokongan pengundi kampung. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 November, 2014.
Tanpa sebarang perubahan, Umno dilihat tidak akan kekal lama selepas pilihan raya akan datang sekiranya masih mengharapkan sokongan pengundi tradisi di kawasan kampung.
Kenyataan itu bukan dikeluarkan penganilisis politik mahupun pemimpin Pakatan Rakyat (PR), tetapi oleh pemimpin sayap Pemuda Umno itu sendiri.
Terma Matematik digunakan Exco Pemuda Umno Shahril Hamdan untuk menggambarkan perubahan pengundian rakyat Malaysia, yang kini lebih bersikap lebih urban dan muda.
Shahril menyokong pendapat ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata semalam, penyokong tetap Umno adalah pengundi luar bandar, dan ia merupakan "pasaran yang semakin mengecil".
Pasaran yang sedang berkembang adalah jutaan belia yang berpindah ke kawasan bandar untuk mencari rezeki, kata Khairy.
Dianggarkan, sekitar 70% daripada 5 juta pengundi muda akan mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Merdeka Center juga melaporkan pada 13 Ogos 2013, lebih 64% daripada pengundi masa depan adalah pengundi Melayu.
Menggunakan statistik kerajaan, Biro Profesional Muda Pemuda Umno menganggarkan pada 2016, 75% populasi akan menetap di bandar.
Biro itu berpandangan trend berikut selari dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) di kerusi bandar.
Mereka menganggarkan faktor lain trend itu adalah perkembangan bilangan profesional muda daripada sejumlah 450,000 pada 1970 kepada 2.3 juta pada 2010.
Biro itu sendiri dibentuk kerana pergerakan itu menyedari blok pengundi muda amat penting dan akan berterusan.
"Mereka mungkin mendaftar di kawasan (luar bandar) Pokok Sena, Rembau atau Setiu, tetapi mereka menetap dan bekerja di Seputeh," kata Khairy, merujuk kerusi Parlimen di kawasan Kuala Lumpur yang dimenangi DAP lebih sedekad lalu.
"Jadi kita tidak boleh melupakan Seputeh," katanya, merujuk kepada fakta apa yang dilalui kumpulan berkenaan di kawasan kediaman mereka akan dibawa kembali ke perkampungan mereka di mana mereka akan mengundi.
Biro itu adalah sebahagian daripada penyelesaian politik yang diharapkan untuk menawan hati pengundi berusia 20 hingga 30-an.
"Kita tidak lagi boleh menggunakan retorik politik dengan mereka," kata Shahril, yang mengetuai biro berkenaan ketika ditemui semalam.
Biro berkenaan akan menganjurkan program untuk memenuhi kehendak kritikal, fakta, dalam kumpulan pengundi muda bandar mengejar kerjaya dan pendapatan mereka.
Ia merangkumi kursus untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, temuduga kerjaya dan bengkel untuk mereka mendapatkan latihan menyediakan resume.
"Matlamatnya di sini adalah untuk menawarkan produk yang mampu membantu kehidupan mereka," kata profesional berusia 29 tahun yang bekerja dalam sektor minyak dan gas itu.
"Sebaik saja mereka melihat kami mampu membawa perubahan dalam hidup, mereka akan berubah fikiran,” katanya.
Antara ciri yang ditemui Pemuda Umno adalah pengundi muda bandar mahukan pemimpin yang mampu berdebat dan mempertahankan pendirian mereka terhadap pembangkang.
Shahril berkata, sebahagian daripada tugasnya adalah untuk memberikan respon terhadap fakta atau kritikan daripada pembangkang atau masyarakat umum.
Ia termasuk menyertakan pemimpin muda pembangkang dalam sesetengah dialog atau forum bebas.
Shahril sendiri berkongsi pentas bersama Ahli Parlimen Serdang (DAP) Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bukit Gelugor (DAP) Ramkarpal Singh,dan Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil dalam pelbagai forum.
"Apabila kami mengeluarkan fakta seperti Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), mereka akan membuat perbandingan," kata Shahril.
"Jadi sekurang-kurangnya, mereka yang menentang kami mungkin akan berubah sedikit dan menjadi lebih terbuka. Itu lebih baik daripada mereka yang sememangnya membantah kami,” katanya.
Exco Pemuda Umno Ibdillah Ishak mendakwa, pendekatan berasaskan penyelesaian progresif yang diamalkan Khairy membantu mereka mendapatkan kembali sokongan pengundi bandar muda Melayu.
"Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, kita melihat pengundi muda Melayu kembali kepada kita.
"Dilihat daripada program seperti Anwar Ibrahim di Universiti Malaya, ia tidak dihadiri ramai orang. Tidak seperti 1998," kata Ibdillah, yang mengetuai biro media sosial.
Namun, lebih kritikal berbanding biro ini atau jenama progresif Khairy, Umno secara keseluruhannya perlu menerima pendapat sedemikian dan sama ada mengenali perubahan landskap pengundi atau tidak.
Khairy mengakui perkara itu dalam pertemuan berkenaan.
Pada akhirnya, pengundi mungkin memberikan respon positif kepada Pemuda Umno, namun apabila pilihan raya menjelang, keseluruhan parti yang akan diadili.
"Jika pengundi melihat parti keseluruhannya dan masih lagi cerita lama, parti lama, apa kita boleh buat," katanya. TMI

Tiada ulasan: