Saham Malaysia melonjak di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selepas hampir sebulan setengah ia dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff bertambah sibuk menerima kunjungan dan menghadiri mesyuarat dengan wakil tetap UNSC yang lain.
Satu perjumpaan dijangka diadakan dengan wakil tetap Amerika Syarikat ke PBB, duta Samantha Power yang dijangka mengadakan apa yang disifat sebagai “kunjungan hormat” minggu depan.
Walaupun Hussein menyifatkan ia sebagai kunjungan biasa, namun para penganalisis diplomatik melihat pertemuan itu sebagai tanda Malaysia merupakan anggota UNSC yang diberi perhatian walaupun ia tidak mempunyai kuasa veto.
Amerika, sebagai peraturan mahu menyelaras isu dengan pendatang baharu di UNSC bagi memastikan kerjasama berjalan lancar walaupun mungkin tidak bersetuju dalam banyak perkara.
“Saya sebenarnya mahu mengunjungi Puan Power, tetapi saya diberitahu beliau mahu mengunjungi saya," kata Hussein.
Beliau berkata banyak perwakilan tetap kagum dengan margin pemilihan Malaysia yang besar sebagai Wakil Tidak Tetap UNSC, 187 daripada 192 undi, dan teruja untuk mengetahui cara Malaysia meraih sokongan.
"Walaupun penggal dua tahun kita di UNSC secara rasmi bemula 1 Januari, 2015, kita telah menghadiri prosiding UNSC sebagai pemerhati sejak 21 November.
"Staf kanan dan saya bergilir-gilir menghadirinya kerana hanya seorang staf anggota boleh menghadiri prosiding UNSC. Peralihan tempoh ini membolehkan kita mengikuti kerumitan yang dihadapi UNSC," katanya, dan menambah "dunia menghadapi lebih banyak laungan hari ini berbanding sebelumnya dan ini bermakna lebih banyak kerja untuk kita semua".
Katanya Malaysia yang akan menjadi Pengerusi Asean pada 2015 akan turut mempengerusikan Jawatankuasa Asean di New York dan menyuarakan pandangan kumpulan Asean. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan