Majlis Peguam mengingatkan Datuk Seri Najib Razak hari ini, janji kepada rakyat ialah komitmen yang kukuh, susulan keputusan perdana menteri itu berhubung penarikan semula janjinya pada 2012 bagi menghapuskan Akta Hasutan.
Bertujuan memastikan Najib bertanggungjawab terhadap ikrarnya, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata, satu janji menandakan wujud satu komitmen melaksanakan sesuatu perkara walau bagaimana susah sekalipun.
“Majlis Peguam sangat kecewa perdana menteri dilaporkan berkata Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan, dan beliau tidak akan menepati janjinya berhubung perkara itu.
“Seperti yang kita biasa faham, janji ialah satu komitmen melaksanakan sesuatu walaupun dalam keadaan yang sukar, bukan hanya sekiranya ia mudah dilakukan,” kata Leong dalam satu kenyataan.
Beliau juga mempersoalkan sama ada pemimpin Barisan Nasional (BN) lain juga akan seumpama itu berpatah balik dengan kenyataan mereka dan menyokong Najib dalam melindungi undang-undang era penjajah itu.
“Adakah pemimpin negara kita yang lain turut memungkiri pendirian mereka yang dinyatakan secara umum menentang Akta Hasutan?
“Adakah mereka akan mengambil pilihan mudah atau sebaliknya melakukan perkara yang betul?
“Majlis Peguam menyeru kerajaan menunaikan janjinya memansuhkan Akta Hasutan, dan merangka satu undang-undang baru keharmonian nasional yang menganjurkan kepada keharmonian dan kedamaian yang tulen,” katanya.
Najib pertama kali berjanji memansuhkan akta warisan penjajah British itu supaya digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional pada 2012, dan kenyataan ini diulangi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Langkah tersebut bagaimanapun dibantah keras golongan konservatif Umno dan kumpulan berhaluan kanan, yang mendakwa akta tersebut perlu dikekalkan bagi membela hak istimewa orang Melayu.
Semalam, Najib dalam ucapannya kepada perwakilan Umno berkata akta tersebut akan dikekalkan malah diperkasakan demi keamanan dan keharmonian negara.
Leong berkata adalah suatu khayalan jika menganggap akta tersebut menjamin keamanan.
"Adalah tidak bijak menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai jawapan kita mengekalkan dan menggalakkan keamanan dan keharmonian. Sejarah penggunaan Akta Hasutan 1948 sama ada dahulu atau sekarang tidak menyokong pendapat sedemikian.
"Ini tidak memeranjatkan kerana Akta Hasutan 1948 bukan diolah atau berniat mencapai keamanan dan keharmonian yang sebenar.
"Satu-satunya tujuan akta itu ialah bagi meneruskan penguasaan dan kawalan melalui penafian hak dan ruang demokratik dengan cara penindasan dan hukuman."
Menurutnya, keputusan perdana menteri mengekal dan memperkasakan akta kontroversi itu memberi petanda Putrajaya sedang menuju pemerintahan autoritarian.
"Adalah sesuatu lucu rakyat Malaysia bukan sahaja dilarang berbincang dan berdebat isu umum dan berkepentingan nasional serta yang menyentuh Perlembagaan, tetapi mereka juga akan dihukum jika berbuat demikian.
"Ini suatu penindasan yang besar, dan menandakan kejatuhan ke arah pemerintahan autoritarian," kata Leong.
Beliau berkata Akta Hasutan akan hanya meneruskan situasi tidak harmoni, dan dengan mengekalkan undang-undang itu, kerajaan menyerahkan diri kepada tuntutan "pihak tidak bertanggungjawab".
Leong berkata punca utama keadaan tidak harmoni adalah perasaan bimbang, dan ekploitasi perasaan itu, serta ketidakupayaan atau keengganan menyahut kritikan dan perbezaan pendapat dengan cara matang.
Katanya, keamanan yang kekal dan berterusan memerlukan komitmen dan usaha keras, dan bukan dengan menghukum kritikan atau luahan pendapat.
Dalam mengejar keamanan, rakyat Malaysia perlu menerima kritikan dan perbezaan pendapat sebagai sebahagian proses kematangan dan pembelajaran, tambahnya.
"Ada pihak di Malaysia yang mencetuskan suasana tidak harmoni, salah tafsir dan salah guna Perlembagaan Persekutuan, pemalsuan sejarah, eksploitasi kebimbangan dan menakut-nakutkan serta menghasut ke arah kekerasan ke atas harta dan nyawa, sebagai tindak balas terhadap kritikan dan perbezaan pendapat.
"Golongan ini tidak diambil tindakan undang-undang. Sebaliknya, Akta Hasutan 1948 digunakan terhadap sesiapa yang melahirkan persoalan, kebimbangan serta kritikan." TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan