SPECIAL ADS

28 November 2014

Kerjasama Umno-PAS, kuatkan Melayu-Islam atau takut hilang kuasa?

Umno yang dilihat lemah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 perlu pertimbang bekerjasama dengan PAS demi orang Melayu dan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 November, 2014.
Umno yang dilihat tenat dan lemah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu mempertimbangkan talian hayat terakhir iaitu menjalin hubungan dengan PAS untuk terus berkuasa dengan menggunakan alasan Melayu dan Islam.
Walaupun kerjasama Umno dan PAS pernah berakhir dengan pemecatan parti Islam itu daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977, ia diperlukan sekarang bagi mengekang kemaraan Pakatan Rakyat (PR) yang semakin memenangi banyak kerusi sejak pilihan raya umum 2008.
Perwakilan Umno yang ditemui semasa perhimpunan agung parti itu berkata, perbincangan mengenai kerjasama dengan parti Islam itu harus dipertimbangkan secara serius.
Kerjasama antara Umno dan PAS diberi nafas baru terutama selepas kemelut penukaran menteri besar Selangor lalu yang menyaksikan konflik hubungan di antara parti dalam PR semakin ketara, sehingga tahaluf siyasi parti Islam itu bersama PKR dan DAP dipersoalkan.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mendedahkan, Umno melalui kumpulan Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha menyerapkan agenda mereka ke dalam parti Islam itu.
Kebetulan baru-baru ini semasa menyampaikan ucapan dasarnya merasmikan perhimpunan agung sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, Muhyiddin secara terbuka juga berkata, PAS bukan lagi musuh Umno sebaliknya mereka kini berdepan fahaman liberalisme yang songsang.
Kenyataan ini dilihat memberi peluru kepada golongan konservatif dalam PAS untuk membunuh golongan profesional yang sering dikatakan liberal.
Pemerhati melihat kenyataan Muhyiddin itu addalah usaha berterusan kumpulannya untuk menjayakan perpaduan Umno dan PAS.
Exco Pemuda Umno Batu Gajah Zairul Azmir, 30, berkata kerjasama Umno dan PAS antara perkara yang perlu diberi perhatian dan sekiranya ia diatur dengan baik, ia tidak menjadi satu kesalahan.
"Kalau daripada segi Melayu dan Islam, memang pada pendapat saya, elok diteliti perkara itu.
"Bagi Pemuda Umno, kalau betul susur dan jalannya, ia tidak salah. Dan kita lihat Umno sekarang ini bergantung kepada Melayu," kata Zairul kepada The Malaysian Insider semasa ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.
Katanya, parti komponen BN juga dilihat kurang membantu dalam memperkukuhkan sokongan kepada kerajaan.
"Kalau kita lihat parti komponen, sudah dua kali pilihan raya (umum), bukan tidak membantu, tapi mereka belum cukup membantu," kata perwakilan dari Melaka itu.
Perwakilan Pahang, Tengku Abd Rahman Tengku Perang, 48, berkata mereka sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha penyatuan Umno dan PAS.
"Di peringkat bawah, menunggu-nunggu sebenarnya penyatuan orang Melayu. Dan tidak boleh lari daripada penyatuan Umno dan PAS.
"Ini boleh memberikan kekuatan kepada Melayu dan Islam di negara ini. Tinggal lagi, terserah kepada pemimpin Umno dan PAS," kata Tengku Abd Rahman kepada The Malaysian Insider.
Beliau yang juga merupakan setiausaha Umno Bahagian Raub itu berkata, langkah tersebut boleh mengelak daripada hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan.
"Kita di peringkat bawah mengalu-alukan penyatuan ini kerana kita lihat biarlah orang Melayu itu kuat menjadi satu dan tidak dipertikaikan hak keistimewaan Melayu," katanya.
Bagaimanapun, sekiranya kerjasama tersebut direalisasikan, persoalannya ialah, adakah Umno sanggup menerima ideologi PAS yang memperjuangkan negara dan hukum Islam?
"Pemimpin Umno pun bersikap terbuka terhadap hudud. Malah zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) serta (Datuk Seri) Najib (Razak), tidak pernah kata menolak hudud, kerana itu hukum Allah.
"Orang Islam perlu kuat dulu untuk kita laksanakan hukum Allah itu," katanya.
Seorang perwakilan daripada negeri diperintah PAS, Kelantan, Tengku Bahrim Tengku Kamarul Zaman, 52, berkata, kerjasama Umno dan PAS akan menjamin pengukuhan bagi orang Melayu dan Islam.
"Demi perpaduan Melayu dan Islam di Malaysia, perlu wujud perpaduan antara Umno dan PAS, kerana majoriti dalam PAS adalah Melayu-Islam, sama dengan Umno.
"Perpaduan ini penting bagi mengukuhkan umat Islam dan Melayu," kata Tengku Bahrim, yang juga AJK Umno Bahagian Kota Baru.
"Saya amat berharap perpaduan PAS-Umno dapat dilaksanakan,” katanya.
Baru-baru ini, dalam satu temubual dengan Mingguan Malaysia menjelang perhimpunan agung parti itu, Najib tidak menolak kemungkinan parti itu yang akan terlebih dulu menyuarakan tawaran bekerjasama dengan PAS.
Bagaimanapun, presiden Umno itu menegaskan, perkara itu tidak boleh dibincangkan secara terbuka.
Katanya, perlu wujud kesedaran yang kerjasama antara parti itu dengan PAS penting dalam usaha mengelak ancaman atas orang Islam dan Melayu menjadi semakin getir. TMI

Tiada ulasan: