Malaysia Airlines sedang menanti penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac diisytiharkan hilang secara rasmi bagi membolehkan bayaran pampasan dibuat kepada waris penumpang.
Pengarah MAS Airlines Hugh Dunleavy menasihatkan keluarga penumpang penerbangan itu supaya bersabar kerana maklumat mengenai pampasan sedang diatur.
"Kami tidak mempunyai tarikh akhir tetapi sebaik saja ia secara rasmi direkodkan sebagai hilang kita akan bekerjasama dengan waris mengenai pembayaran pampasan penuh kepada keluarga mereka," kata Dunleavy seperti dilaporkan akhbar New Zealand Herald.
Menurut akhbar itu, Dunleavy berkata, Konvensyen Montreal menetapkan siling pampasan kira-kira AS$175,000 (RM582,000) walaupun penumpang boleh mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi.
"Kami akan memastikan pampasan kepada mereka dibayar untuk mereka yang kehilangan orang dicintai melalui syarikat insurans kami.
"Kami cuba untuk mempercepatkannya (ganti rugi) sedaya upaya tetapi terdapat beberapa perkara yang berada di luar ruang lingkup syarikat penerbangan sendiri.
"Jika mereka tidak berpuas hati dengan pampasan dan kemudian mendapatkan nasihat guaman, memulakan langkah seterusnya dan kemudian datang kepada kita, kita akan membuat penilaian dan memberi maklum balas," katanya.
Dunleavy berkata, membayar pampasan kepada keluarga penumpang di atas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine adalah lebih mudah kerana mereka tahu apa yang berlaku kepada pesawat.
Beliau yakin anak kapal MH370 tidak mempunyai kaitan dengan insiden yang digelar sebagai misteri penerbangan paling besar.
"Semua anak kapal MH370 sudah disiasat agensi keselamatan dan setakat yang saya tahu tiada apa muncul sebagai sesuatu yang tidak diingini,” katanya.
MH370 ketika hilang sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China.
MH370 meninggalkan KLIA pada 12.41 pagi, 8 Mac dengan 14 anak kapal dan 227 penumpang dari 14 negara yang berbeza.
Pesawat itu terputus hubungan dengan kawalan trafik udara di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam pada pukul 1.20 pagi.
Pesawat jenis Boeing 777 itu kemudiannya melencong ke arah Selat Melaka dan dipercayai “berakhir” di selatan Lautan Hindi. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan