SPECIAL ADS

30 November 2014

UMNO telah dirampas oleh gulungan elitis, mengaku sebagai wakil Melayu


Perhimpunan Agung UMNO yng baru sahaja selesai Sabtu lalu, walaupun tiada apa yang ‘significance’ berlaku, ia juga membawa satu paparan yang jelas tentang ketakutan UMNO akan jatuh dan tersungkur dihadapan mata rakyat yang kini sedang dalam kemarahan dan kritikal terhadap parti itu.

Timbalan Presidennya dengan ringkas merumuskan yang UMNO perlu berubah jika tidak mahu diubah. Beliau telah memasukan isu ini sebagai inti parti dalam ucapan perasmian tiga sayap parti itu Selasa lepas.

Elok juga kita tanya setidak-tidaknya dua soalan penting dalam usaha untuk berubah ini. Pertamanya apa yang hendak diubah dahulu, kerana UMNO perlu melakukan perubahan dalam terlalu banyak perkara. Kesemua perkara yang perlu diubah itu semuanya dalam keadaan tenat sehinggakan UMNO sudah tidak tentu rupanya lagi dan parti itu sedang berada dalam keadaan ‘brain-death’, hanya tubuh sahaja yang nampak besar tetapi tidak berfungsi lagi.

UMNO bagi setengah orang sedang bergantung kepada ‘life-support’ ia itu kuasa dan jentera kerajaan yang kian hari kian lemah dan tidak diyakini lagi oleh rakyat yang ramai dibawah-bawah ini. Apabila ‘life-support’ itu sudah tidak berguna lagi atau dicabut dari tubuh UMNO itu UMNO akan mati dan akan tinggal nama sahaja. Itu lah kemungkinan maksud Muhyiddin itu.

Tetapi persoalan terhadap Muhyiddin ialah, mahukan Muhyiddin sendiri menjadi agen kepada perubahan itu? Bagaimana jika salah satu dari perkara yang perlu dilakukan ialah Muhyidn sendiri yang perlu melakukannya waimma jika beliau sendiri terpaksa berhenti dan bersara bagi meninggalkan jasa beliau kepada UMNO. Berkorban untuk parti bukan sahaja kekal dengan jawatan, tetapi bersara dan meninggalkan jawatan dan tanggungjawab juga adalah pengorbanan yang besar.

Najib sudah pasti tidak mahu berundur dan jika boleh beliau mahu memerintah negara ini selama 22 tahun sekurang-kurangnya. Masalah UMNO itu bukan masalah ahli-ahlinya. Masalah UMNO ialah masalah pemimpin-pemimpin mereka termasuk ‘warlords’ yang disebut oleh Muhyiddin itu.

Ahli-ahli UMNO seperti biasa adalah pengikut tegar yang tidak tahu pun apa masalah yang dihadapan mereka. Ahli-ahli biasa UMNO itu hanyalah diperguna oleh pemimpin mereka untuk memberikan dokongan kuat dan selalunya untuk mendapatkan representasi untuk menampakkan sokongan itu ialah melalui perhimpunan parti itu sekali setahun. Perhimpunan yang baru selesai Sabtu lepas boleh memperlihatkan mentaliti dan nilai perwakilan yang datang yang berjumlah beribu-ribu orang itu.

Perhimpunan itu adalah premis untuk memperlihatkan yang UMNO itu adalah parti yang kuat dan bersatu. Tetapi hakikatnya ahli-ahli parti itu hanya bersatu dengan teguh ialah semasa menyanyikan lagu UMNO itu sahaja. Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, itulah cogan kata lagu yang dinyanyikan oleh semua perwakilan dalam perhimpunan itu. Selepas sahaja mereka menyanyikan lagu itu, mereka tidak menampakkan bersatu dan bersetia, lebih jauh lagi untuk berkhidmat.

Mereka, terutamanya pemimpin-pemimpinnya betul-betul bersatu tetapi bersatu untuk menambah kekuasaan kepada segelintir ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Mereka setia dengan pemimpin mereka yang rasuah dan menguruskan negara dengan ketirisan yang amat besar sehinggakan kantung kerajaan semakin menurun malahan ramai yang berpendapat kerajaan kita sedang dalam keadaan kering kontang. Mereka tidak ada lagi khidmat kepada ahli-ahlinya jauh sekali untuk berkhidmat dengan jujur terhadap rakyat keseluruhannya.

UMNO itu sudah bertukar menjadi kelab untuk elitis dan bukannya untuk ahli-ahli dan orang ramai yang berbilang kaum ini. Rakyat tidak boleh menyalahkan UMNO kerana tidak mahu berkhidmat untuk rakyat, kerana parti itu telah menganak tirikan ahli-ahlinya sendiri, masakan parti itu ada waktu dan kemampuan untuk memberikan fokus kepada rakyat yang ramai.

Pimpinan elitis UMNO mempunyai dokongan dari segelintir ‘industrialists’ dan peniaga-peniaga besar. Mereka lebih cenderung untuk bersama dengan elitis dan kumpulan ‘industrialists’ ini kerana pimpinan kita akan lebih menerima untung dan laba yang besar.

Mereka beranggapan rakyat yang ramai ini adalah kumpulan yang banyak masalah dan mereka rimas dengan tindakan ramai yang membuat kritikan terhadap mereka (pimpinan). Memperjuangkan rakyat itu dianggap mereka sebagai kerja yang membosankan. Parti ini di kuasai oleh elitis ini yang sekarang memparmirkan kumpulan mereka sebagai kumpulan yang mewakili orang Melayu.

“Dah beri BRIM setahun sekali, apa yang mereka hendak lagi?” mungkin itulah yang terpahat dalam jiwa dan nilai itulah yang ada dalam diri kepimpinan kita. Tetapi diperingkat zahiriahnya mereka melaungkan slogan yang besar-besar. Laungan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelang tahun 2020 dan rakyat negara yang berpendapatan tinggi. Apa ini semua? Sedangkan rakyat sedang berhadapan dengan kemungkin menjadi rakyat yang termiskin dengan kos sara hidup yang tidak dapat di zahirkan oleh rakyat yang ramai.

Sesungguhnya seperti yang disebutkan diatas tadi, persoalan yang penting itu sekarang ialah apakah yang hendak diubah itu? Pendeknya yang pelu diubah ialah perubahan persepsi rakyat terhadap mereka yang memimpin negara. Melaunglah dengan sekuat yang boleh rakyat tetap dengan persepsi yang pimpinan  UMNO parti ini adalah pemimpin-pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan itulah lagunya tahun demi tahun dalam perhimpunan agung parti itu.

Mereka hanya pandai menunjukan otot yang besar dan memberikan ugutan yang bodoh-bodoh terhadap rakyat yang ramai. Pengekalan akta hasutan oleh Najib itu adalah tindakan membesarkan otot untuk menakut-nakutkan sesiapa yang cubamengkritik kerajaan.

Mereka memberikan alasan yang tindakan itu ialah untuk menurunkan suhu perbezaan kaum dan agama bagi menjamin keselamatan negara. Mungkin itu sahaja lah alasan yang agak boleh diterima. Itu sebabnya saya selalu berkata kepada parti-parti diluar BN itu, supaya beragak sedikit untuk membuat kritikan, kerana mereka mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan dan menganggapnya sebagai rasis. Kita pun hendak melihat bagaimana Akta Hasutan ini dipergunakan oleh pihak kerajaan dari sekarang.

Persoalan keduanya ialah siapa yang hendak melakukan perubahan itu? Sudah terlalu panjang tulisan ini. Mungkin kita sentuh dalam posting yang akan datang ini.

Aspan Alias

Tiada ulasan: