SPECIAL ADS

17 November 2014

Pakatan : Bawa ke Mahkamah Persekutuan batalkan keputusan PRU13

Pakatan Rakyat akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insider, 18 November, 2014.
Lebih 18 bulan selepas PRU13, Pakatan Rakyat (PR) akan membuat satu lagi percubaan untuk membatalkan keputusannya di Mahkamah Persekutuan dan behujah pilihan raya umum yang diadakan pada 2013 itu tidak bebas dan adil kerana masalah dakwat kekal.
Peguam Americk Sidhu berkata, PR sudah mengarahkannya untuk membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan walaupun dua mahkamah lebih rendah sebelum ini membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan saman mereka tanpa sebarang perbicaraan dijalankan.
Americk berkata, plantif di antara yang kalah dalam PRU13 yang diadakan pada Mei 2013, sudah merancang untuk memanggil saksi bagi memberikan bukti semasa perbicaraan.
"Anak guam kini mahu kami memohon kebenaran di Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Mahkamah Rayuan pada 7 November baru-baru ini menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini kekal di mana pendakwa hanya boleh mencabar keputusan pilihan raya dengan memfailkan petisyen di mahkamah.
Majoriti hakim memutuskan, satu-satunya pilihan bagi pihak yang kalah mencabar keputusan pilihan raya ialah melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
"Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar perkara itu dan permohonan menyingkirkan pesuruhjaya pilihan raya," kata Datuk Alizatul Khair Osman, yang menyampaikan keputusan majoriti bersama Datuk Rohana Yusof.
Bagaimanapun, Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham berkata perbicaraan harus diadakan bagi menentukan sama ada SPR melanggar tugas perlembagaannya.
"Saya percaya keputusan berbeza di Mahkamah Rayuan juga menjadi dorongan untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah tertinggi untuk mendengar rayuan mereka," kata Americk.
Pihak mendakwa ada sehingga 5 Disember ini untuk memfailkan dokumen mahkamah mereka termasuk merangka soalan undang-undang berkepentingan awam untuk diluluskan Mahkamah Persekutuan.
"Itu tidak menjadi masalah kerana saman itu pastinya dibawa bersama hujah isu baru," kata Americk.
Pada 7 Februari, hakim Mahkamah Tinggi Rosnaini Saub memutuskan, salah bagi pembangkang dan beberapa calon yang tewas mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah sivil.
SPR berpendirian Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa sivil mengisytiharkan keputusan pilihan raya sebagai tidak sah.
Pada 15 Julai tahun lepas, PR meminta mahkamah mengetepikan keputusan semua kerusi Parlimen, dan juga membubarkan kepimpinan SPR sekarang dan melakukan pilihan raya baru.
Dalam pernyataan tuntutannya, PR berkata tindakan yang belum pernah dibuat itu perlu berikutan kegagalan dalam kes dakwat kekal yang katanya menyebabkan penipuan besar-besaran semasa PRU13.
Selain PKR, DAP dan PAS, plaintif lain dalam kes itu ialah Dr Dzulkefly Ahmad, M Manogaran, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pengundi Arifin Rahman dan R Rajoo.
Pada PRU13, Barisan Nasional kembali berkuasa selepas memenangi 133 kerusi manakala baki 89 kerusi dimenangi PR.
Rosnaini berkata, Mahkamah Tinggi juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk memecat ahli SPR daripada jawatan mereka.
"Ahli SPR hanya boleh dipecat daripada pejabat seperti hakim Mahkamah Persekutuan, ia mesti atas nasihat tribunal yang dilantik Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Peguam Tommy Thomas juga berhujah untuk plaintif, mengatakan SPR melakukan penipuan terhadap rakyat Malaysia kerana dakwat kekal tersebut boleh dibasuh dan tidak kekal selama lima hari selepas mengundi.
Thomas berkata tindakan SPR mengatakan keputusan pilihan raya hanya boleh dicabar menerusi petisyen bertujuan untuk menafikan hak plaintif untuk mendapatkan keadilan menerusi tindakan sivil lain.
Sebelum saman difailkan, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menuduh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan bekas timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berbohong mengenai dakwat kekal dan membuat kenyataan yang bercanggah tentang kandungan nitrat perak.
"Kami mempunyai dokumen dan bukti keatas SPR. Kamu tidak boleh terus menukar kenyataan nitrat perak 5-7% kepada hanya 1% dan kemudian mengatakan dakwat itu sama seperti pewarna makanan," katanya dalam satu forum pilihan raya yang dianjurkan oleh Majlis Peguam.
Laporan Tribunal Rakyat pada pilihan raya juga menyatakan ia berjalan secara bebas dan adil, di samping berlaku banyak pelanggaran undang-undang pilihan raya.
Tribunal itu terdiri daripada pakar-pakar tempatan dan luar negara, ia dibentuk bagi menyiasat penipuan pilihan raya dalam PRU13.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata keputusan tribunal menyimpulkan SPR gagal mengadakan satu pilihan raya yang bebas dan adil, dan "kita tidak tahu sama ada perkara sama juga berlaku dalam pilihan raya terdahulu".
"Ini tidak boleh diteruskan. Kami mempunyai bukti dan jika ia terus berlaku dalam pilihan raya umum akan datang, kami akan lawan balik," katanya.

Tiada ulasan: