SPECIAL ADS

24 Mei 2013

Azmin : Tolak perhimpunan jalanan

Azmin Ali
PETALING JAYA 24 Mei :  Perhimpunan aman disifatkan sebagai tanda suara rakyat yang perlu didengar, bagaimanapun perhimpunan jalanan yang melanggari undang-undang perlu ditolak, demikian kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Beliau sama sekali menegaskan bahawa tidak menyokong usaha menggulingkan kerajaan melalui kekerasan.

“Kita tak setuju berarak di tengah jalan raya, timbulkan hura-hara, saya sokong perhimpunan aman dalam keadaan teratur, bukan berarak seluruh Kuala Lumpur, kita nak berhimpun sahaja,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Dewan Siviks, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak untuk menghentikan konflik yang ada dan mencari titik temu untuk membawa kemajuan politik Malaysia.

Ahli Parlimen Gombak itu mencadangkan supaya mengadakan satu sesi dialog bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO), badan professional dan semua parti politik dalam negara ini.

"Saya cadangkan supaya insiatif dialog dan usaha sama diadakan tetapi bukan bersifat kepartian. Ini untuk kepentingan rakyat, keselamatan dan kemakmuran negara, saya sedia jadi  penganjurnya dan jumpa semua pihak.

"Tetapi saya tidak cakap untuk jadi kerajaan perpaduan, tidak. Saya orang pertama halang perkara itu. Kerjasama ini tidak bermaksud kerajaan perpaduan," katanya.

Jelas beliau, jika ditakrif dalam Bahasa Melayu adalah sesi temu tembung.

"Sudah tentu ada yang setuju dan tidak setuju tetapi sekurang-kurang ada dialog dan perbincangan, bukan bincang soal pembaruan dalam pilihan raya sahaja, tetapi dalam soal ekonomi, pendidikan dan serantau.

"Saya percaya NGO dan parti politik boleh menyumbang ke arah kebaikan rakyat. Lima tahun akan datang (PRU14) kita lawan lah pulak," katanya.

Ketika ditanya, adakah perhimpunan seperti Blackout 505 masih diperlukan walaupun sudah ada sesi dialog bersama.

"Itupun (perhimpunan) dialog juga, kita dialog dengan rakyat, kita dengar, salah ke? Asalkan tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan negara.

"Saya harap Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga menghormati undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.

Tiada ulasan: