SPECIAL ADS

24 Mei 2013

Rafizi: SPR perlu telus siasat insiden 'Black Out'


Rafizi Ramli
PETALING JAYA 24 Mei :  Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini, menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat insiden lampu padam dengan telus dan bukannya menjadi alat propaganda Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau mempunyai bukti berkenaan insiden tersebut berikutan menerima satu laporan polis berhubung insiden itu  di Kulim Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau turut mendakwa SPR tidak telus dalam menjalankan tugas kerana dilihat seolah-olah dilihat tidak berminat mencari kebenaran sebaliknya menyalahkan Pakatan Rakyat (PR) dalam beberapa isu terutama insiden ini.

"Ini cabaran terbuka kepada SPR untuk dilihat telus dan mereka haruslah berusaha mencari kebenaran dan bukannya menyalahkan pihak lain.

"Adalah sangat penting untuk SPR, menjadi sebuah badan yang mempunyai kredibiliti, telus dan diyakini oleh rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Laporan Bernama hari ini dipetik, siasatan awal SPR menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
  
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.  

"Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
  
"Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR," katanya.

Sementara itu, Rafizi turut membidas Wan Ahmad yang dilihat begitu ghairah  mempertahankan isu berkenaan seolah-olah mewakili menteri dalam Umno.

"Apa yang saya lihat, beliau (Wan Ahmad) seperti mewakili menteri Umno yang begitu lantang bersuara.

"Sepatutnya beliau berkata, kami akan siasat dengan sebaik-baiknya bukannya menghemtam PR dan rakyat, ini tidak beliau seolah-oleh menteri dalam kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: