SPECIAL ADS

23 Mei 2013

Zahid Harus Rasional dan Terbuka Terhadap Perhimpunan Aman


himpunan suara rakyat kelana jaya crowd 03
SHAH ALAM 24 MEI : Naib Presiden Pas Salahuddin Ayob menggesa Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya bersikap rasional dan terbuka terhadap penganjuran himpunan aman.
Salahuddin berkata himpunan-himpunan tersebut adalah cara rakyat terutamanya anak muda menzahirkan rasa tidak puas hati  berkaitan perjalanan pilihanraya ke-13 yang dilihat tidak telus dan penuh kepincangan.
“Saya melihat dan yakin serta percaya bahawa semua himpunan-himpunan yang dianjurkan ini adalah himpunan biasa, perhimpunan aman.
“Anak-anak muda datang tanpa senjata tanpa ada niat untuk mereka melakukan kekerasan ataupun jauh sekali daripada menggulingkan Kerajaan dengan cara kekerasan,” kata Salahuddin.
Beliau memberi respons terhadap amaran Ahmad Zahid yang dikeluarkan pada 20 Mei lalu terhadap sesiapa yang menyertai atau menganjurkan himpunan untuk mengkritik Kerajaan Persekutuan.
Sejak 8 Mei, Pakatan Rakyat telah menganjurkan beberapa siri himpunan yang dinamakan “Blackout 505” bagi membantah keputusan pilihanraya ke-13 yang didakwa sarat dengan penipuan.
Himpunan-himpunan tersebut yang dianjurkan di padang atau stadium telah berjaya mengumpul berpuluh ribu orang yang datang dengan berpakaian hitam.
Akhbar “The Sun” melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata sesiapa yang menyertai atau melibatkan diri di dalam himpunan-himpunan tersebut harus bersedia menghadapi tindakan undang-undang.
“Dato Zahid jangan bimbang kalau dia bersifat rasional atau beliau bersifat lebih objektif itu ini sendiri dengan sendiri akan menaikkan imej beliau sebagai Menteri dalam Negeri yang baru.
“Jadi saya harap tindakan-tindakan selanjutnya akan diperhitungkan dengan cermat dan juga saya rasa ini penting bagi kita memberikan ruang yang lebih demokratik pada rakyat negara kita”.

Tiada ulasan: