SPECIAL ADS

23 Mei 2013

KDN Rampas Suara Keadilan Bermotif Politik

saifuddin nasution
SHAH ALAM 24 MEI : PKR menegaskan pihaknya tidak gentar dengan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan.
Sebaliknya dalam satu kenyataan akhbar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan KDN dan menyifatkan ia sebagai bermotif politik.
Suara Keadilan dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.
“Merampas akhbar Suara Keadilan di beberapa negeri adalah cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) yang lalu.
“Ia satu lagi bukti kerajaan Umno-BN berterus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif  tentang politik negara yang boleh dinilai oleh rakyat,”katanya.
Tambahnya, belum pun baru menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali bertindak keras dan tidak demokratik.
“Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, pegawai-pegawai KDN  bertindak merampas dan mengancam menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara Keadilan di beberapa tempat,” katanya.
Saifuddin menjelaskan di Ipoh malam tadi, tujuh orang pegawai KDN  menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar tersebut di mana semua pegawai tersebut enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.
Sementara di Melaka, katanya, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara Keadilan dirampas dari seorang pengedar yang menyatakan pegawai KDN memberi alasan bahawa ia menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Kejadian yang sama juga berlaku hari ini di Johor Bahru, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan.
“PKR menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar serta 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada Adam Adli,” katanya.
Saifuddin berkata, PKR merasa kesal kerana kerajaan UMNO-BN masih dengan kesombongan mereka kerana gagal untuk mengubah sikap terhadap berita dan pandangan alternatif walaupun mereka telah menguasai sepenuhnya media di negara ini.

Tiada ulasan: