SPECIAL ADS

4 Mei 2013

Amaran Ketenteraman Aman


KUALA LUMPUR 04 Mei :  Polis sedar mengenai cubaan pihak tertentu yang mahu mengadakan perarakan serta perhimpunan selepas pengundian di seluruh negara esok, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata berdasarkan risikan, polis menerima maklumat wujud elemen provokasi yang akan dilakukan penyokong-penyokong parti politik seperti mengadakan perarakan dan perhimpunan bagi meraikan kemenangan dalam pilihan raya atau memprotes keputusan sekiranya kemenangan tidak berpihak kepada mereka.
"Sebab itu saya tegaskan di sini, mana-mana perarakan atau perhimpunan yang akan diadakan esok bagi meraikan kemenangan atau memprotes keputusan pilihan raya ditegah sama sekali, dan polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap mereka yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, sehubungan itu polis sentiasa bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada hari esok termasuk cubaan untuk membawa 'Arab
Spring' ke Malaysia.

"Polis sentiasa bersedia. Kita sudah kenal pihak-pihak tersebut, jadi kita tunggu apa yang akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang didakwa cuba mewujudkan elemen tidak selamat pada hari pengundian esok dan berkata polis akan terus menahan mereka yang didapati melakukan perkara tersebut dan tiada kompromi mengenainya.

Terdahulu, dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau berkata polis telah mengambil langkah membendung cubaan untuk menggerakkan demonstrasi jalanan yang dirancang pihak tertentu bagi mengganggu kelancaran perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 esok.

Tiada ulasan: