SPECIAL ADS

21 Mei 2013

Bantah penyelewengan tolak keganasan


21 Mei 2013
1. Penipuan dan penyelewengan wajar dan mesti ditentang habisan. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang penipuan dan kepincangan dalam pengendalian serta pengurusan pilihanraya negara kita. Kebangkitan rakyat yang sedar dan insaf menolak penipuan dan penyelewengan adalah satu rahmat Allah swt buat negara ini agar satu masa kelak, tiada lagi rakyat yang hanya bungkam dan bisu bila berdepan penipuan dan penyelewengan terutama disaat sistem demokrasi yang semakin tercemar.

2. Bantahan dan penentangan yang sedang diterjemahkan oleh rakyat hari ini selayaknya diberikan hak oleh pihak kerajaan menepati peruntukan perlembagaan yang membenarkan rakyat bersuara dan berhimpun secara aman. Sewajarnya pihak PDRM bersama rakyat menolak penipuan dan penyelewengan yang kian meruntuhkan segala sendi demokrasi dan peradaban negara ini dengan membantu kawalan keamanan, keselamatan rakyat dan provokasi yang mencetus huru hara.

3. Telah terbukti pada setiap perhimpunan yang dianjur dan disertai oleh rakyat amnya dan Pakatan Rakyat khasnya adalah aman dan terkawal jika tiada sebarang provokasi termasuklah tindakan keras menyuraikan himpunan oleh pihak polis dalam beberapa insiden sebelum ini. Rakyat sebenarnya bukan anti kerajaan, bukan juga anti polis dan bukan pula anti keamanan, tetapi mereka anti korupsi, anti penipuan dalam pilihanraya dan penyelewengan dalam pengurusan sistem demokrasi.

4. Kami tegas menolak keganasan. Menolak huru hara dan kacau bilau kerana kami juga sayangkan negara dan seluruh rakyat yang bernaung dalam negara ini, justeru itu kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat. Kami tidak akan turun ke jalanraya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat serta mengganggu keamanan masyarakat sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Al Fadhil Yb. Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua DPP Malaysia kelmarin. Namun kami turun bersama rakyat secara aman untuk bersuara dan menyatakan pendirian kami disamping mendesak kerajaan supaya benar-benar memperbaiki sistem demokrasi negara.

5. Kerajaan yang didokong oleh UMNO dan BN mesti menginsafi perkara ini. Jika 53% dari jumlah keseluruhan pengundi tidak bersama UMNO dan BN, justeru ia adalah signal yang sangat jelas bahawa banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan UMNO dan BN tidak disenangi oleh rakyat terbanyak termasuk penipuan dalam pilihanraya dan penyelewengan dalam sistem demokrasi. 

6. Apabila anak muda melepaskan isihati mereka untuk turun ke jalanraya, penyelesaiannya bukan menangkap Adam Adli kerana selepas ini akan lahir beribu lagi Adam Adli jika masaalah pokok tidak diatasi segera iaitu penipuan dalam pilihanraya dan penyelewengan sistem demokrasi negara kita. Adam Adli mesti dibebaskan. Jika kita tidak mahu dan tidak bersetuju anak - anak muda ini turun ke jalanraya, penyelesaiannya ialah kerajaan mesti luruskan pilihanraya sehingga tiada lagi manipulasi.

7. Dewan Pemuda PAS Malaysia komited menentang manipulasi dan penipuan dalam pilihanraya. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak berpeluk tubuh dan berdiam diri dengan dakwaan-dakwaan penyelewangan serta salahlaku pilihanraya baru-baru ini. Kita mengambil langkah menggunakan saluran undang-undang. JUHAM adalah agensi utama dibawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang bekerja keras mengumpul bukti penipuan dan penyelewengan untuk failkan petisyen pilihanraya di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Tiada ulasan: