SPECIAL ADS

3 Mei 2013

BN tolak demokrasi untuk kekal kuasa

04 Mei : Berikut pandangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengenai salah guna kuasa oleh BN sebagai kerajaan sementara. Ikuti butiran lanjut bersama wartawan kanan AZIZ MUDA.
WARTAWAN: Umno-BN ternyata menyalahgunakan kuasanya sebagai Kerajaan Sementara, apabila masih lagi mengumumkan pelbagai projek ketika berkempen...


USTAZ NASRUDIN HASSAN: Sifat seorang yang berintegriti dan bertanggungjawab dengan kepimpinan dan amanah rakyat, jika berada dalam kerajaan sementara sudah tidak boleh lagi meluluskan sebarang projek. Tetapi bagi BN tidak pula begitu. Itulah wajah sebenar BN.

Tindakan itu lari dari piawaian dan jelas tidak berintegriti. Sepatutnya apabila dibubar Parlimen, tiada lagi aktiviti lulus projek. Dalam tempoh berkempen, tak boleh lagi disogokkan kepada rakyat dengan projek-projek kerana sepanjang masa berkempen adalah masa untuk rakyat berfikir.

Jadi, apabila sesebuah Kerajaan Sementara itu masih lagi meluluskan projek, projek itu jadi tak sah sebab Parlimen dah dibubarkan. Pemuda PAS dah aju perkara ini kepada SPRM dan kepada Majlis Raja- Raja, tetapi BN masih juga buat begitu dan tiada tindakan drastik ke atas mereka.

Rakyatlah yang perlu buat perubahan, bagi memberikan pendidikan politik kepada kerajaan BN yang jelas menyalahgunakan kuasanya itu.

BN juga turut menyalahgunakan jentera kerajaan. Ini salah dari segi etika demokrasi. SPR sebagai pihak yang berwajib tidak pula mengeluarkan garis panduan bagaimana kerajaan sementara berfungsi.

Ini menjadikan kita di pihak parti lawan bukan berlawan dengan parti, tetapi dengan kerajaan. Di negara-negara mana pun, parti lawan bukan berlawan dengan kerajaan, tetapi dengan parti lawan.

BN juga menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen...

Guna jentera kerajaan itu adalah menggunakan jabatan-jabatan kerajaan, kementerian-kementerian, pegawaipegawai kerajaan dari pelbagai sektor kerajaan, guru-guru. Ini termasuk menyuruh guru-guru hadir ke sesuatu program yang kononnya untuk guru-guru, tetapi dalam program itu sarat dengan menyuruh guruguru menyokong kerajaan.

Ketika Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0 lantang mendesak akses media yang bebas dan adil, Kerajaan Umno-BN hanya tawarkan 10 minit bentang manifesto di TV.

Itu pun satu ketidakadilan daripada BN kepada pihak pembangkang serta kegagalan transformasi politik Dato’ Seri Najib Tun Razak. Walaupun Najib kata ingin melakukan transformasi, tetapi ia masih tidak berlaku.
Kepada pihak Pakatan hanya diberikan masa untuk muncul di TV selama 10 minit untuk menjelaskan manifesto, tetapi kepada BN diperuntukkan masa sehingga dua jam untuk membentangkan manifestonya dan disiarkan secara langsung.

Selain hanya 10 minit, ia akan disiarkan dalam bentuk rakaman dan hanya disiarkan sekali sahaja. Tetapi kepada BN, selain disiarkan dua jam secara langsung akan turut diulang siar setiap hari. Ini jelas satu ketidakadilan. Ini adalah satu tragedi malang demokrasi negara kita.

Sedangkan di negara-negara lain termasuk di Indonesia, kesemua pemimpin parti politik yang bertanding boleh muncul di TV dan turut berhujah menerusi TV.

Di negara kita tak pernah berlaku seperti itu. Ini menunjukkan kerajaan BN takut untuk berdepan dengan berhujah dengan Pakatan Rakyat.

Tindakan BN menafikan menggunakan media rakyat seperti RTM bersalahan dengan garis panduan Kerajaan Sementara seperti yang digariskan konvensyen antarabangsa.

Kerajaan BN sememangnya tiada kreadibiliti. Tindakan-tindakannya bukan sahaja menganiaya rakyat, tetapi juga tidak menepati konvensyen antarabangsa. Negara lain termasuk Indonesia dah maju dalam amalan demokrasinya, tetapi negara kita masih lagi ketinggalan.

Sudahlah tak ikut garis panduan kerajaan sementara yang digariskan konvensyen antarabangsa, tetapi negara kita juga masih lagi di tahap lama dari segi amalan demokrasinya.

Apa yang dilakukan oleh BN itu jauh berbeza berbanding kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, seperti kerajaan Selangor. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telah awal-awal lagi mengingatkan kepada Exco-exconya serta para pegawai kerajaan agar bertindak bijak sepanjang Kerajaan Selangor berada di bawah kerajaan sementara.

Ingatan itu diberikan supaya segala tindakan yang dilakukan tidak terkeluar dari garis panduan kerajaan sementara yang digariskan konvensyen antarabangsa itu.

Tiada ulasan: