04 Apr :PAKATAN Rakyat ingin menegaskan supaya Umno-BN jangan menakut-nakutkan pengundi dengan menggunakan isu bangsa dan agama untuk menimbulkan kecurigaan dan melaga-lagakan rakyat. Terutama, mempermainkan dan mengapi-apikan sentimen orang-orang Melayu sebagai kuda tunggangannya dalam meraih undi dan sering memaparkan Pakatan Rakyat sebagai musuh Islam dan bangsa Melayu.
Kami ingin menegaskan, ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat memberi komitmen sepenuhnya mendokong Per lembagaan. Kami berikrar dan beriltizam akan memelihara status Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak, dan serta kedudukan institusi Rajaraja Melayu. Ini tidak pernah dipersoalkan dan tidak dipertikaikan mana-mana parti Pakatan.
Oleh sebab Dato’ Seri Najib Razak tidak berani tampil ke depan berdebat dengan saya mengenai manifesto PRU13, maka kami ingin mencabar BN, khususnya Umno, menjawab beberapa persoalan mengenai nasib orang Melayu:
1. Kenapakah di sepanjang pemerintahan BN jumlah tanah rezab Melayu yang berjumlah 3 juta hektar pada 1957 menguncup kepada 1.7 juta hektar. Ke manakah pergi 1.3 juta hektar dan siapakah yang mendapat faedah dari penjualan tanah rezab Melayu? Bukankah BN yang cuba menjual tanah rezab Melayu Kampung Baru?
2. Kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP mengekalkan kuota Bumiputera untuk kontraktor kelas F. Nilai kontrak yang diperolehi kontraktor Bumiputera meningkat dua kali ganda. Peruntukan untuk hal-ehwal Islam meningkat 2.5 kali ganda berbanding era BN. Adakah ini dasar yang anti-Melayu dan anti-Islam? Prestasi Melayu di bawah kerajaan DAP lebih baik dari ketika zaman Gerakan. Di manakah suara Umno ketika itu?
3. Najib sendiri dalam kenyataannya di Parlimen mengakui bahawa daripada saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia bernilai RM56 bilion yang diberi kepada Bumiputera, RM52 bilion dijual kepada bangsa lain. Setahu kami, saham RM56 bilion tidak sampai kepada guru-guru sekolah, para nelayan dan penarik beca, kerani-kerani dan konstabel polis. Berapa ramaikah menteri dan ketua-ketua bahagian Umno yang menjadi jutawan melalui skim ini?
4. Kenapakah selepas 56 tahun merdeka, orang Melayu masih merupakan bangsa termiskin? Jika benar, perjuangan Umno untuk membela orang Melayu, kenapa ramai pemimpinnya semakin kaya dan jurang di antara golongan miskin dan kaya semakin luas, terutama di kalangan orang Melayu?
Kami, selaku pemimpin Pakatan, berikrar akan membebaskan rakyat dari belengu rasuah dengan langkah-langkah berikut:
1. Mereformasikan urus tadbir perkhidmatan awam supaya ia tidak menjadi instrumen eksploitasi kepimpinan politik. Ini akan dilakukan melalui proses yang telus, melalui pemisahan pembuatan dasar dari pelaksanaan supaya tidak wujud campur tangan politik dalam pelaksanaan dasar.
2. Menjamin autonomi dan keberkecualian badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, PDRM dan SPRM supaya kesemuanya dapat bertindak tanpa pilih kasih atau perasaan takut. Semua badan ini perlu bertindak profesional dan tidak menjadi alat politik pemerintah.
3. Menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyemak semula amalan kontrak runding terus yang berat sebelah dan amalan monopoli di ekonomi Malaysia yang membawa beban kepada rakyat.
Usaha membasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu dan lain-lain komuniti yang terpinggir akan dipergiatkan lagi dengan program-program yang disasarkan untuk membina daya saing dan daya dikari seperti program mikrokredit.
Dasar ekonomi yang berkesan dan berjaya ialah dasar yang dapat mengurangkan pergantungan kepada subsidi dan pemberian kebajikan. Dasar sebegini tidak akan merugikan masyarakat Melayu.
Orang Melayu yang miskin dan terpinggir tidak perlu bimbang akan perubahan yang kami bawa. Masa depan mereka lebih terjamin di bawah Pakatan Rakyat.
Hanya orang Melayu yang menyalahguna kuasa dan terlibat dalam rasuah harus cemas dengan perubahan yang kami anjurkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan