SPECIAL ADS

20 Mei 2013

Cubaan bisukan rakyat


GEORGE TOWN, 21 Mei : Kerajaan digesa menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan seperti yang dijamin Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan serta menghentikan pelbagai usaha untuk membisukan kemarahan rakyat terhadap penipuan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Kenyataan bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut mengecam tindakan regim Barisan Nasional (BN) yang menahan aktivis mahasiswa Adam Adli.

“Amat malang sekali, minggu pertama penggal baru kerajaan Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicemari perbuatan anti-demokrasi yang menindas rakyat Malaysia,” ujar mereka.

Menurut mereka lagi, penggunaan Akta Hasutan 1948 yang merupakan warisan penjajah menunjukkan BN sanggup melakukan apa saja demi mengekalkan kuasa.

“Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Simpang Pulai, Perak, Tan Kar Hing, yang merupakan penganjur Himpunan Blackout 505 di Perak, serta dua siswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang menganjurkan GELAP 13, telah dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad juga didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana menganjurkan Himpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya, Selangor,” mengikut kenyataan itu.

Cubaan regim BN menghapuskan suara rakyat yang mempertikai kemenangan mereka melalui jalan penipuan diteruskan hari ini dengan siasatan polis terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikut Akta Himpunan Aman mengenai program perhimpunan yang dianjurkan di Padang Kota Lama, pada 18 Mei lalu.
“Kami menggesa kerajaan pusat segera membebaskan Adam Adli, dan membatalkan dakwaan ke atas Nik Nazmi.

“Kami juga berharap kerajaan Pusat akan berhenti mengheret dan mendakwa rakyat yang berhimpun secara aman untuk meluahkan pendapat mereka.” – Roketkini.com

Tiada ulasan: