SPECIAL ADS

17 Mei 2013

DAP ulangi nasib MCA jika masuk BN


17 Mei : KONTEKSNYA begini. Presiden MCA, Chua Soi Lek mengusulkan bahawa pemimpin partinya tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan, seandainya prestasi MCA dalam PRU13 lebih teruk daripada apa yang dicapai pada PRU12. Usul ini diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA pada tahun 2011.

Mesejnya jelas, ia dibaca sebagai ugutan terhadap masyarakat Cina, berbunyi, seandainya pengundi Cina tidak menyokong MCA, maka Cina akan dihukum dengan kesudahan di mana tiada perwakilan Cina dalam Kabinet, mahupun kerajaan negeri dan tempatan.

Selain itu, usul ini juga dilihat sebagai strategi Soi Lek mengikat nasib dirinya dengan pimpinan MCA di pelbagai peringkat, daripada jawatan sebesar menteri sehinggalah jawatan sekecil ketua kampung. Ini kerana tidak kurang pimpinan MCA akar umbi didapati menyokong DAP, PAS dan KeADILan dalam PRU12. Justeru, Soi Lek menghantar mesej, seandainya mereka terus berbuat demikian, maka pimpinan yang berjawatan kerajaan ini akan dihukum dengan "buang kerja".

Jadi inilah mesej di sebalik cadangan Soi Lek. Tiada kaitan dengan "akur kepada suara rakyat", mahupun "kegagalan MCA bermakna kegagalan model Barisan Nasional". Ia taktik yang difikirkan semata-mata untuk melanjutkan hayat politik MCA, kerana parti ini telah muflis dari segi idea, roh, nilai malah kemampuan untuk menggendalikan pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, ugutan dan propaganda ini tidak berjaya untuk menakutkan masyarakat Cina. Malah sebelum hari pengundian, propaganda bahawa keputusan PRU13 akan menyaksikan "Melayu dalam kerajaan", sementara "Cina dalam pembangkang" cuba diasak terhadap pengundi Cina. Kesannya besar, sebagaimana yang diugut, kononnya bakal meminggirkan masyarakat Cina daripada proses penggubalan dasar, lantas kepentingan masyarakat Cina terabai begitu sahaja.

Namun demikian, ugutan ini tidak berkesan. Pada 5 Mei, pengundi Cina memangkah untuk menghumbankan MCA ke dalam tong sampah. Ia bukan sekadar menghukum, tetapi "membunuh", jikalau dilihat undi majoriti yang diperolehi calon Pakatan Rakyat di kawasan menentang calon MCA, khususnya di bandar. Malah, di Pulau Pinang, semakin banyak wang ditabur, semakin berat hukuman pengundi terhadap calon BN di kawasan tersebut. Bukan sahaja meluat dengan politik wang, tetapi enggan dihina dengan gula politik berbentuk wang ringgit.

Kini, sekali lagi masyarakat Cina berdepan dengan dilema, kerana Pakatan Rakyat tidak memerintah di peringkat Persekutuan. Maka akhbar Cina dan tokoh-tokoh Cina tertentu menyuburkan semula hujah MCA - bagaimana suara masyarakat Cina boleh disalurkan ke dalam kerajaan tanpa perwakilan MCA dalam Kabinet? Bagaimana masyarakat Cina terus berada dalam arus perdana politik tanpa penglibatan Cina dalam kerajaan? Dalam situasi sedemikian, cadangan seperti DAP masuk BN diketengahkan.

Kebetulan saya menghadiri satu forum untuk mengupas hala tuju Malaysia selepas PRU13. Salah seorang panelis, Phoon Wing Keong memuji keberanian pengundi Cina untuk menolak MCA meskipun sedar kesannya di mana tiada perwakilan dalam Kabinet BN. Beliau berkata, ketiadaan wakil dalam Kabinet tidak bermakna Cina di luar arus perdana.

Seandainya siapa-siapa yang berfikiran bahawa Cina perlu berada dalam kerajaan untuk kekal dalam "arus perdana", maka pandangan ini adalah meleset. Phoon menjelaskan, kita tidak boleh menilai sesuatu hanya berdasarkan kemenangan semata-mata, atau memuja mereka yang menang. Sebaliknya, Phoon menganggap tindakan masyarakat Cina kali ini adalah selangkah ke depan, kerana memilih politik berpaksikan nilai sejagat.
Masyarakat Cina tidak tergoda dengan sedekah mahupun gula politik sepanjang tempoh kempen, sebaliknya mempertahankan maruah sebagai pengundi kerana tidak dibeli hanya dengan wang ringgit atau kebendaan.

Kupasan Phoon kena pada tempatnya. Sungguhpun "pendidikan" antara isu yang menyentuh hati pengundi Cina, sehingga Najib cuba memikat undi dengan beberapa tawaran dalam bidang pendidikan, tetapi pertikaian tetap bangkit di kalangan Cina - apakah makna seandainya peruntukan sekolah Cina ditambah tetapi kilang Lynas tetap beroperasi? Keprihatinan tidak lagi disempitkan hanya kepada isu pendidikan, tetapi isu umum yang melibatkan kepentingan awam.

Lebih menarik, apabila akhbar Cina memperbesarkan berita bahawa Lim Kit Siang menyatakan kesediaan berunding dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan, ia mencungkil reaksi yang hangat. Phoon secara seloroh melontarkan "andaian", jikalau DAP menyertai BN, maka parti ini akan mengulangi nasib MCA dalam PRU14. Ini kerana perbuatan menyertai BN umpama membelakangi matlamat perjuangan parti, malah mengkhianati mandat yang diberikan pengundi. Kenyataan Phoon disambut dengan tepukan gemuruh daripada kelompok hadirin keturunan Cina.

Saya menganggap mesej daripada pengundi Cina cukup jelas. Reaksi Cina selepas membaca laporan Sin Chew Daily sekali lagi membuktikannya. Sin Chew menonjolkan kenyataan Kit Siang bahawa DAP sedia berunding dengan BN jikalau manifesto Pakatan Rakyat diterima, lantas dikecam dan dikutuk pengundi Cina - sehingga Kit Siang perlu memberi penjelasan tentang apa yang sebenarnya diujar. Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, menegaskan sekali lagi kemudian bahawa DAP tidak berminat untuk menyertai BN selepas pertikaian ini tercetus.

Natijahnya, pengundi Cina bukan menyokong DAP secara membuta-tuli, tetapi sokongan ini bersyarat. Pemimpin yang menyertai barisan kezaliman dengan apa alasan sekalipun, akan ditolak tanpa belas kasihan. Ini yang Cina mahu.

Lim Hong Siang 
Bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. 
E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan: