Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri al-Amin(gambar) berkata, titah baginda yang disampaikan di Konvensyen Integriti anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan baru-baru ini menjelaskan bahawa sokongan dan keyakinan rakyat hanya akan dapat diperkasakan melalui nilai teladan integriti pemimpin yang utuh.
“Bagi kami, antara punca kejatuhan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional(BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 yang lalu berpunca daripada salah guna kuasa dan sikap kronisme yang telah diamalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, dan sekali lagi selepas rampasan kuasa oleh BN pada awal Februari 2009 yang lalu, BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir masih lagi gagal untuk menghilangkan budaya politik wang atau rasuah di kalangan pimpinan BN yang jelas mencerminkan nilai integriti yang sangat rendah kepada rakyat.
Beliau berkata, banyak isu yang telah PAS negeri dedahkan salah guna kuasa dan amalan kronisme yang masih diteruskan oleh pentadbiran Zambry.
“Bagi kami Datuk Seri Zambry tidak mengambil pengajaran penolakan BN pada PRU12 yang lalu,” ujarnya.
Kini, ujar beliau dengan majoriti yang semakin mengecut, pentadbiran Zambry sebenarnya begitu 'goyang' yang boleh diibaratkan menunggu masa sahaja akan jatuh jika BN Perak tidak peka masalah integriti di kalangan mereka.
“Bagi kami, semua perkara tersebut tidak mustahil akan berlaku kerana masalah integriti di kalangan kepimpinan Kerajaan Negeri BN Perak masih boleh dipertikaikan lagi,” kata beliau.
Hatta, tambah beliau Zambry sehingga kini masih belum terlepas dengan isu Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang telah diberikan projek perhotelan kepada pegawai khasnya yang masih di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan