SPECIAL ADS

4 Mei 2013

Kerahsian undi dan pejawat awam

04 Mei : Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang warganegara untuk mengundi jika beliau adalah seorang pemilih berdaftar. 

Hak ini adalah hak asasi seseorang warganegara selaras dengan hak dan kebebasan yang dijamin untuk bersuara dan berekspresi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan konsep tersebut, S.5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan bahawa tiap-tiap pegawai, kerani, jurubahasa, calon, ejen dan orang-orang lain yang berada di bilik mengundi hendaklah terlebih dahulu mengangkat sumpah kerahsiaan untuk tidak mendedahkan apa-apa maklumat atau nombor siri mana-mana pemilih atau cuba mendapatkan maklumat berkaitan undi yang telah dibuang.

Oleh itu, penjawat awam tidak perlu khuatir untuk mengundi calon Pakatan Rakyat dan tidak mengundi calon Barisan Nasional. 

Tiada apa-apa tindakan membuang atau menurunkan pangkat penjawat awam tersebut atas alasan penjawat awam tersebut telah mengundi calon Pakatan Rakyat.

Perkara yang dilarang di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] hanyalah melibatkan pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk mengambil bahagian secara aktif di dalam aktiviti politik.

Antaranya membuat penyataan awam secara berat sebelah mengenai isu antara parti politik, menerbit buku atau risalah yang berat sebelah mengenai parti politik, merayu undi, menjadi ejen pilihan raya atau tempat mengundi, masuk bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam parti politik.

Manakala, bagi kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan secara umumnya hanya perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian jika ingin bertanding atau memegang jawatan atau dilantik memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik.

Oleh itu, para penjawat awam tidak perlu khuatir dengan dakyah kononnya penjawat awam hanya mesti mengundi Barisan Nasional dan jika mereka mengundi selain daripada Barisan Nasional, maka mereka akan dikenakan tindakan tatatertib. 

Para penjawat awam harus menggunakan peluang untuk memangkah dalam PRU 13 ini untuk memerdekakan diri dan pemikiran mereka yang telah sekian lama dikongkong dengan dakyah palsu ini.  

Sekiranya para penjawat awam ‘dimerdekakan’ fikiran mereka, nescaya negara Malaysia akan bertambah maju dan kita semua akan dapat melihat rangsangan idea-idea inovatif daripada penjawat awam. 

Dengan itu, penjawat awam bukan setakat dapat memajukan diri mereka dengan ketrampilan yang lebih baik bahkan dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan negara ini.


*Penulis adalah seorang peguam dan mempunyai PhD dalam bidang undang-undang.

Tiada ulasan: