SEPANG 22 MEI : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dikecam kerana bermain politik untuk memuaskan hati tuan politiknya, bukannya fokus pada tugas pertamanya iaitu membuatkan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur selamat daripada penjenayah dan menjadi mangsa jenayah.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam ulasan medianya di LCCT, di sini, hari ini sebelum menaiki pesawat ke Kota Kinabalu, berkata beliau dimaklumkan dua pegawai polis menyoal siasat Penasihat dan pengasas DAP, Dr Chen Man Hin selama satu jam 15 minit mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab bahawa istilah “Malaysian Spring” yang digunakan dalam e-mel peribadinya tahun lalu mempunyai hubungan dengan konspirasi menggulingkan kerajaan secara haram dan ganas.
Katanya, ini tidak masuk akal dan betul-betul satu pembaziran sumber, tenaga dan masa pihak polis sedangkan ada lebih banyak perkara penting perlu dilakukan seperti memastikan Malaysia bebas daripada jenayah.
Dua hari lalu adik Timbalan Perdana Menteri menjadi mangsa pecah rumah di Petaling Jaya sementara adik Ketua Polis Negara pula menjadi mangsa pecah rumah di Mantin, Negeri Sembilan.
“Dengan keadaan jenayah yang begitu berleluasa, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk polis membuang masa dan sumber untuk satu pemburuan sia-sia hanya kerana ada ahli politik yang menyeleweng dan tidak bertanggungjawab membuat tuduhan palsu tetapi tidak mempunyai prinsip dan keberanian untuk membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, adakah pihak polis bersedia untuk mendakwa mereka yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan polis memburu sesuatu yang sia-sia, membazir masa dan sumber awam.
Katanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin boleh berlagak bahawa siasatan polis terhadap Dr Chen adalah bukti betapa dia serius, sedangkan sebenarnya terbukti Malaysia salah memilih orang untuk menjadi Menteri Dalam Negeri yang tidak tahu keutamaan sepatutnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan