SPECIAL ADS

3 Disember 2013

Jangan cabar kesabaran rakyat

03 Nov : Sejak pilihan raya umum yang ke-13 lepas, landskap politik Malaysia hanya dipenuhi dengan kesialan. Tiada satu pun berita gembira buat rakyat. Hampir setiap minggu, setiap bulan ada sahaja kenaikan harga barangan atau perkhidmatan yang turut mendapat restu regim pemerintah.
Apa yang paling meloyakan dengan kesialan ini ialah apabila membaca kenyataan sewel segelintir menteri ini. Bagaimana kenaikan harga ini tidak akan membebankan rakyat sedangkan gaji tidak pernah naik?
Mohon menteri bijak pandai ini bersama Perdana Menteri 1Malaysia jelaskan secara bersemuka dengan rakyat bagaimana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini tidak akan membebankan rakyat. Berani?
Kuasa rakyat belum meledak di negara ini. Namun jika diperhatikan dengan apa yang sedang berlaku di Thailand dan Ukraine, majoriti rakyat dinegara ini masih berada dalam keadaan mamai dan tidak pedulikan dengan regim pemerintah. Ini pastinya satu kelebihan buat regim.
Apa yang pasti, makin lama makin kotor jadinya politik negara ini.
Apabila Perdana Menteri membelanjakan hampir RM44.071 juta untuk rombongan ke luar negara dalam tempoh lima tahun bermula Mac 2008 hingga Mei 2013, justifikasinya ialah urusan berkenaan adalah urusan negara.
Apabila isteri Perdana Menteri menggunakan jet eksekutif swasta yang kosnya dibiayai oleh pembayar cukai ke Qatar dan masih samar-samar lagi tujuan beliau ke sana, justifikasinya ialah atas nama kepentingan negara, kata seorang menteri bijak pandai ini.
Jika anda seorang manusia yang mampu berfikir dengan waras dan tahu apa itu penindasan, kezaliman dan kehaprakan maka percayalah pasti anda akan tertanya-tanya kenapa kerajaan yang menerima undi popular sekitar 47% ini terlampau boros dan sedikit pun tidak pedulikan kesengsaraan rakyat!
BR1M sudah tidak relevan lagi. Adalah kurang akal jika ada yang masih mengandaikan bahawa BR1M akan menyelesaikan semua masalah harian rakyat lebih-lebih lagi dengan kenaikan tarif elektrik tahun depan nanti. Pak-pak menteri makan sedap di restoran lima bintang sedangkan rakyat perlu beratur untuk membeli menu 1Malaysia. Hebat!
Revolusi jalan raya belum sampai kemuncaknya namun sayugia diingatkan bahawa jika sikap tamak haloba ini diteruskan, pastinya rakyat akan turun ke jalan raya menuntut pembaharuan dalam politik dan ekonomi.
Politikus sama ada kerajaan sekarang mahupun pembangkang sudah tidak boleh diharapkan lagi. Jika regim pemerintah rakus mencekik darah rakyat, politikus pembangkang pula dengan lembapnya sibuk menghadiri forum demi forum yang sedikit pun tidak memberikan impak kepada rakyat marhaen. Forum untuk siapa? Forum untuk apa? Anda anjurkan, anda bentangkan idea dan anda tumpang popularitinya. Kehaprakan apa ini?
Rakyat bukan boneka. Jangan terus menguji rakyat. Setiap seorang rakyat mempunyai limitasi kesabarannya. Jangan mencabar kesabaran itu. Kuasa rakyat boleh menghumban sebuah kerajaan atau sekurang-kurangnya melumpuhkan sebuah kerajaan. Kuasa rakyat juga boleh memboikot politikus pembangkang yang sebelum pilihan raya begitu manis bicara mengemis undi!
Buat Tuan Ketua Polis Negara, ini bukan hasutan. Ini hanyalah suara seorang rakyat biasa yang ditindas oleh regim pemerintah dan kini terasa tertipu dengan semangat revolusi politikus pembangkang. Yang tinggal kini hanyalah semangat revolusi rakyat marhaen.
Oleh: Edwin Michael

Tiada ulasan: